Sabtu, 11 April 2020 | 4:14pm
MUSTAHIL tukang gunting lakukan jarak satu meter dengan pelanggan. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
MUSTAHIL tukang gunting lakukan jarak satu meter dengan pelanggan. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pengusaha kedai gunting rambut enggan tanggung risiko

ALOR SETAR: “Saya tidak akan beroperasi selagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat berikutan bimbang akan wujud kluster daripada kami,” kata Noor Afiq Syahmi Ahmad Nawawi, 30.

Pengusaha kedai gunting rambut ini, berkata walaupun terdapat permintaan tinggi daripada pelanggan dalam tempoh PKP, namun dia enggan mengambil risiko yang boleh mengancam nyawa.

Katanya, mustahil tukang gunting rambut melakukan jarak satu meter dengan pelanggan untuk mendapatkan hasil yang baik.

“Seorang pelanggan memerlukan antara 20 minit sehingga 45 minit untuk menggunting rambut, untuk saya jarakkan satu meter, sangat sukar dilakukan.

“Walaupun perlu sediakan pengesan suhu badan dan mengamalkan kebersihan, saya tetap bimbang ia boleh menular kerana saya difahamkan ada pembawa COVID-19 yang tidak mempunyai gejala,” katanya yang lebih tiga tahun mengusahakan kedai gunting rambut di Stadium Darul Aman, di sini.

Noor Afiq berkata, dia mengambil inisiatif menjual makanan secara penghantaran bagi menampung perbelanjaan harian semasa PKP, selepas kehilangan pendapatan RM4,000 sebulan apabila kedainya tidak beroperasi.

Pengusaha kedai gunting rambut, Mohd Fauzan Mohd Ali,36, berkata dia akan memenuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi membolehkan kedainya di Jalan Tun Abdul Razak, di sini kembali beroperasi.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang anak ini akan memastikan hanya pelanggan yang membuat temujanji dibenarkan masuk ke kedainya.

“Saya akan hadkan setiap sejam hanya seorang pelanggan sahaja, saya tak akan benarkan orang ramai berkumpul di hadapan kedai saya,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Berita Harian X