Selasa, 31 March 2020 | 6:00pm
Sukarelawan PBSMM cawangan Kubang Pasu membantu menghasilkan pelindung muka untuk diagihkan. - NSTP/Amran Hamid
Sukarelawan PBSMM cawangan Kubang Pasu membantu menghasilkan pelindung muka untuk diagihkan. - NSTP/Amran Hamid

Hasilkan pelindung muka untuk petugas kesihatan

KUBANG PASU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kubang Pasu dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menghasilkan pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas kesihatan di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini dan Perlis dalam menghadapi wabak COVID-19.

Setiausaha Bencana Negeri PBSMM Kedah, Mohd Norazlan Abu Bakar, berkata sebanyak 1,390 pelindung muka yang mula dihasilkan minggu lalu sudah diedarkan kepada petugas berkenaan di setiap daerah Kedah dan Perlis.

Katanya, sebanyak 700 lagi akan diagihkan dalam masa terdekat berikutan keperluan yang tinggi daripada pasukan barisan hadapan berkenaan.

“Seramai 25 ahli persatuan termasuk sukarelawan daripada Majlis Belia Daerah Kubang Pasu bertungkus-lumus menyiapkan pelindung muka untuk petugas kesihatan.

Setakat ini, kita sudah agihakan pelindung muka ini ke semua hospital daerah di Kedah dan Perlis termasuklah pusat kuarantin di Institusi Aminuddin Baki, Jitra.

“Kita jangkakan sebanyak 1,000 lagi pelindung muka akan kita hasilkan sebagai persediaan menghadapi gelombang ketiga,” katanya ketika ditemui di Pejabat PBSMM Kubang Pasu di sini, hari ini.

Sementara itu, UUM menerusi MCMC-UUM MakerSpace, Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM turut menghasilkan dan menyumbang pelindung muka kepada hospital yang memerlukan.

Pensyarah UUM yang juga Penyelidik MCMC-UUM MakerSpace, Ahmad Hanis Mohd Shabli, berkata beliau bersama lima lagi rakan yang menamakan pasukan mereka sebagai Kedah Perlis 3DP COVID membantu mencetak dan mengubah suai pelindung muka mengikut kesesuaian serta kehendak hospital.

Katanya, sebanyak 15 unit mesin pencetak 3D digunakan untuk menghasilkan lebih banyak bahan berkenaan bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

“Projek ini turut digerakkan bersama dengan 3D Printing Group Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang memberi sumbangan material dan juga koordinasi.

“Sehingga kini, sudah lebih 1,000 pelindung muka sudah dicetak dan diserahkan bukan sahaja kepada hospital, malah klinik kesihatan dan balai polis di sekitar Kedah dan Perlis,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X