Sabtu, 14 March 2020 | 3:08pm
Sebahagian jemaah tabligh yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, sudah pun membuat pemeriksaan kesihatan, baru-baru ini.
Sebahagian jemaah tabligh yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, sudah pun membuat pemeriksaan kesihatan, baru-baru ini.

Mufti Perlis rayu jemaah tabligh jalani pemeriksaan

KANGAR: Jemaah tabligh yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dirayu menjalani pemeriksaan kesihatan segera bagi mencegah penularan wabak koronavirus baharu (COVID-19).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata pihaknyabimbang apabila dimaklumkan bahawa masih ada jemaah berkenaan yang berasal dari Perlis dan negeri lain, belum melakukan pemeriksaan.

“Ada yang memberikan alasan penyakit dari Allah, kita perlu reda. Ada yang berkata, masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku dan jangan takut virus tetapi takut Allah. Ada pula berkata, kalau mati (maka) syahid dan pelbagai lagi falsafah yang disalah gunakan.

“Penyakit ini berjangkit, jika sekadar menimpa seseorang tanpa membabitkan orang lain, itu terpulang kepada individu berkenaan kerana ada pendapat fuqaha di situ.

“Namun, bagi virus yang mudah berjangkit seperti ini, ditambah dengan kehadiran saudara secara aktif ke masjid dan surau, adalah salah kerana ia membahayakan masyarakat yang lain,” katanya melalui kenyataan di laman facebooknya, di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, Islam melarang umatnya membahayakan pihak lain tanpa alasan yang benar, justeru jemaah terbabit perlu melakukan pemeriksaan segera tanpa perlu kakitangan Kementerian Kesihatan mencari mereka.

“Saya difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis terpaksa melakukakan operasi mencari saudara terbabit. Berikanlah kerjasama dan kasihanilah umat Islam yang lain.

“Bahkan, bukan muslim sekalipun tidak boleh kita membahayakan mereka. Janganlah saudara hadir ke masjid, melainkan saudara disahkan selamat,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X