Khamis, 12 March 2020 | 12:53pm

Ribuan hidupan laut ditemui terdampar

LANGKAWI: Ribuan hidupan laut ditemui terdampar di beting pasir berikutan fenomena air surut di Pantai Tanjung Rhu, di sini, hari ini.

Fenomena unik yang muncul sekali dalam setahun itu menarik perhatian kira-kira 200 peserta yang menyertai program Jalan Beting Pasir (JBP) 2020 yang bermula pada jam 7 pagi tadi.

Antara hidupan laut ditemui di beting pasir sepanjang 600 meter itu termasuk obor-obor, sotong katak, tapak sulaiman, terumbu karang dan ketam bulan.

Pengunjung, Wan Sharina Wan Hassan, 48, berkata beliau teruja dapat melihat hidupan laut dan terumbu karang yang cantik sepanjang berjalan di sepanjang beting pasir itu.

“Fenomena ini unik dan ini adalah kali kedua saya berkunjung ke kawasan ini selepas kali pertama melakukannya Februari tahun lalu.

“Pada waktu air pasang, pengunjung tidak boleh datang ke kawasan ini, malah hari ini saya tertarik melihat ribuan terumbu karang dan hidupan laut terdampar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Warga emas, Siti Aishah Zakaria, 63, berkata beliau mengunjungi kawasan itu sebaik dimaklumkan kejadian fenomena air surut habis.

PENGUNJUNG, Wan Sharina Wan Hassan menunjukkan tapak sulaiman yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. - Foto Hamzah Osman

“Alhamdulillah, saya dapat kutip dan menangkap lima sotong katak dan 10 siput paha ayam sepanjang satu jam berada di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Tanjung Rhu Resort Langkawi (TRRL), Ameran Mohd Shariff, berkata beting pasir itu terbentuk antara pantai dan Pulau Kelam Baya selepas air surut sehingga paras terendah.

“Ramai pengunjung teruja yang menyertai program ini kerana dapat melihat dan menyentuh sendiri pelbagai hidupan laut yang terdampar selepas air surut habis.

“Kebiasaannya, ketika air pasang kedalaman air kawasan pantai ini mencecah sehingga dua meter,” katanya.

Beliau berkata, JBP julung kali itu dianjurkan TRRL dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada.

Turut hadir meninjau fenomena itu Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan dan Pengurus Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd Bukhari.

WARGA emas, Siti Aishah Zakaria menunjukkan sotong katak yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. - Foto Hamzah Osman

SEBAHAGIAN pengunjung teruja mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. - Foto Hamzah Osman
SEBAHAGIAN pengunjung teruja mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Berita Harian X