X
Selasa, 10 March 2020 | 10:07am
Mangsa, Amran Mat Dali ketika dibantu pasukan Bomba Dan Penyelamat Teluk Kemang sebaik terjatuh di longkang ketika cuba menyelamatkan anak anjing di Batu 7, Jalan Pantai, Port Dickson.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Mangsa, Amran Mat Dali ketika dibantu pasukan Bomba Dan Penyelamat Teluk Kemang sebaik terjatuh di longkang ketika cuba menyelamatkan anak anjing di Batu 7, Jalan Pantai, Port Dickson.- Foto Mohd Khidir Zakaria

Musibah selamat anak anjing

PORT DICKSON: Hasrat seorang lelaki menyelamatkan seekor anak anjing yang terperangkap dalam longkang besar di sini, bertukar malang apabila penutup saliran itu pecah menyebabkan dia terjerumus ke dalamnya.

Mangsa yang juga pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Amran Mat Dali, 40, datang ke situ untuk melihat anak-anaknya memancing di Batu 7, sekitar jam 10 pagi berhampiran Balai Nelayan Teluk Kemang pada ahad lalu.

“Saya bersama rakan melalui tepi pantai dan berjalan melalui tepi longkang yang ditutup simen sebelum terdengar bunyi anak anjing yang terperangkap di dalam longkang bertutup.

“Sebaik memijak penutup longkang berkenaan, tiba-tiba ia pecah menyebabkan saya terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir tiga meter, menyebabkan lutut cedera parah.

“Nasib baik ketika itu rakan saya ada bersama dan seorang nelayan berdekatan, membantu menghubungi bantuan Bomba Dan Penyelamat Teluk Kemang serta polis mengeluarkan saya sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Meskipun dalam keadaan kelam kabut dan cemas kerana terjatuh dalam longkang berkenaan, rakan Amran yang ada bersama ketika kejadian turut berhasil menyelamatkan anak anjing berkenaan.

Amran berkata, dia bersama keluarganya bercuti dan menginap di Apartmen Sri Suasana, Rumah Rehat milik DBKL di Batu 8, Jalan Pantai sejak Jumaat minggu lalu.

“Pemeriksaan doktor mendapati lutut kiri saya cedera parah dan atas permintaan saya dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sebelum menjalani pembedahan pada hari yang sama.

“Sebelum dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur, saya sempat membuat laporan di Balai Polis Teluk Kemang untuk tindakan lanjut.

“Tak sangka pula saya ditimpa musibah pada hari terakhir kami bercuti di Port Dickson yang sepatutnya kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari kejadian,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Amran berkata, dia sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) tentang kejadian malang ini tetapi pihak pihak berkuasa tempatan itu menafikan longkang itu di bawah selenggaraan mereka.

“Saya juga menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengesahkan jika longkang itu adalah projek mereka kerana penutup longkang besar itu amat nipis dan membahayakan orang ramai. JPS hanya berjanji menyiasat perkara itu.

“Tidak mustahil akan ada lagi mangsa jika projek seperti ini diambil ringan dan membahayakan nyawa dan keselamatan orang awam,” katanya.

Berita Harian X