Khamis, 20 Februari 2020 | 3:24pm

Lagi obor-obor beracun ditemui

MARANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Marang mengutip lebih 30 ekor obor-obor jenis Portuguese man o’ war di pantai Pulau Kekabu, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menangguhkan dahulu aktiviti mandi-manda di pantai sehingga obor-obor itu tiada di kawasan pantai berkenaan.

Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak, berkata pihaknya menjalankan tinjauan rutin di pantai itu pada jam 11.46 pagi dan terkejut apabila menemui obor-obor yang terdampar di pantai.

“Kami ingatkan hanya beberapa ekor saja namun jangkaan kami silap apabila menemui lebih 30 obor-obor yang masih hidup terdampar di pantai.

“Syukur kerana ketika kejadian tiada pengunjung yang mandi-manda atau bermain di tepi pantai itu.

“Oleh itu kami berharap orang ramai terutama pengunjung sentiasa berhati-hati ketika berkunjung ke pantai berkenaan,” katanya.

Tambahnya, tinjauan yang dijalankan semalam dan kelmarin di pantai itu tidak menemui obor-obor itu di pantai berkenaan.

“Kami ingatkan obor-obor itu tiada lagi di pantai kerana beberapa hari sebelum ini sudah tidak ditemui terdampar.

“Berkemungkinan masih banyak lagi obor-obor beracun itu di tengah laut di pantai itu cuma ia belum ditolak arus dan ombak ke tepi pantai.

“Orang ramai yang terjumpa obor-obor itu, jangan cuba-cuba menyentuhnya dan segera beredar ke kawasan lain,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

“APM bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan orang awam dan akan sentiasa menjalankan pemantauan pada setiap masa di pantai berkenaan.

“Sekiranya ada pengunjung yang ingin mandi dan sebagainya pihak kami akan cuba menasihati mereka seterusnya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Anggota APM Marang sebelum ini dilaporkan, menemui obor-obor itu terdampar di Pantai Pulau Kekabu ketika menjalani Latihan Penyelamat Pantai pada 11 Februari lalu.

Sebanyak 11 bangkai obor-obor itu ditemui terdampar sepanjang pantai manakala 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air.

Bangkai obor-obor itu dibawa ke Pusat Oceanagrafi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk siasatan lanjut.

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang menunjukkan obor-obor jenis Portuguese man o’ war yang dikutip terdampar di Pantai Pulau Kekabu. - Foto ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang menunjukkan obor-obor jenis Portuguese man o’ war yang dikutip terdampar di Pantai Pulau Kekabu. - Foto ihsan APM
Berita Harian X