Selasa, 18 Februari 2020 | 11:17am
Penduduk di kawasan sekitar Pedu tidak melepaskan peluang menziarah perkuburan lama di Kampung Mong Gajah di Tasik Pedu yang timbul akibat musim kemarau. - Foto NSTP/Noorazura Abdu; Rahman
Penduduk di kawasan sekitar Pedu tidak melepaskan peluang menziarah perkuburan lama di Kampung Mong Gajah di Tasik Pedu yang timbul akibat musim kemarau. - Foto NSTP/Noorazura Abdu; Rahman

Lagi kubur lama muncul akibat kemarau

PADANG TERAP: Musim kemarau yang berpanjangan sehingga kini menyebabkan keadaan empangan terus menjadi kering.

Terbaharu, Empangan Pedu di sini, mula menampakkan daratan sehingga timbul kawasan Kampung Mong Gajah dan perkuburan berusia lebih 100 tahun, selepas kali terakhir ia timbul pada 2016 iaitu ketika negara dilandaEl Nino.

Tinjauan di kampung itu, mendapati terdapat serpihan batu-bata dipercayai telaga yang menjadi sumber air penduduk kampung berkenaan suatu ketika dulu, selain keadaan batu nisan lama yang masih utuh.

Menurut Imam Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu, lebih 100 waris mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yassin di sebuah pondok di tasik itu Jumaat lalu, selepas perkuburan itu muncul sejak dua minggu lalu.

Katanya, Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) membina pagar di kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar itu pada 2006 bagi memastikan ia terpelihara terutama semasa air tasik kering.

“Sebelum ini, ada waris yang mencadangkan perkuburan itu dipindahkan ke tempat lain, namun Jabatan Mufti melihat tiada keperluan berbuat demikian kerana usia perkuburan itu sangat lama.

“Sebab itulah penduduk dan waris yang tinggal di sekitar tidak akan melepaskan peluang menziarah perkuburan ini walaupun mereka tidak pasti yang mana satukah kubur nenek moyang mereka. Selepas ini kami tidak tahu bila pula perkuburan ini akan timbul,” katanya ketika ditemui tasik berkenaan.

Bagi Sarimah Manas, 56, dia tidak melepaskan peluang menziarah perkuburan itu, berikutan datuknya turut disemadikan di tanah perkuburan kampung itu.

Katanya, penduduk yang mahu menziarahi perkuburan itu perlu menaiki bot menyusuri Sungai Mong Gajah yang menjadi pemisah antara kawasan kubur dan penempatan penduduk Kampung Mong Gajah.

“Ibu saya Aisyah Abdullah, 75, pernah tinggal di kampung berkenaan dan diarahkan berpindah semasa dia masih kecil bagi memberi laluan kepada projek tadahan air.

“Tak silap saya banyak lagi kampung yang ditenggelamkan di sini antaranya Kampung Kuala dan Kampung Durian. Bagaimanapun, kampung itu tidak pernah timbul termasuklah tanah perkuburan di kampung berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan kawasan perkuburan lama dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul selepas paras air di Tasik Gubir surut sejak Januari lalu.

Perkuburan seluas hampir sehektar itu dipercayai berada di Kampung Lubuk Kemahang yang ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Muda pada awal tahun 70-an.

Berita Harian X