Ahad, 16 Februari 2020 | 3:00pm
Halim (dua kanan) menyampaikan sijil kepada Zaharah serta Junaidah sambil diperhatikan Nawar (kanan sekali) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar.
Halim (dua kanan) menyampaikan sijil kepada Zaharah serta Junaidah sambil diperhatikan Nawar (kanan sekali) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar.

'Sayang penyu macam sayang anak'

ALOR GAJAH: Kegigihan seorang nelayan yang sanggup berjaga tengah malam mengutip telur penyu selama 15 tahun bagi menyelamatkan haiwan itu daripada pupus wajar dicontohi pelbagai pihak.

Allahyarham Omar Eden, 58, yang meninggal dunia 2 Disember lalu, membantu pemuliharaan penyu dengan mengutip telur penyu daripada dicuri orang dan kemudiannya dilantar ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, dekat sini.

Isterinya, Zaharah Atan, 57, berkata arwah suami akan berjaga dari jam 8 malam hingga 5 pagi semata-mata untuk menyelamatkan haiwan itu daripada pupus.

“Arwah juga sanggup mengutip telur penyu tengah malam walaupun dalam keadaan hujan dan ribut melanda pantai. Dia sangat sayang haiwan ini dan mencurah bakti kira-kira 15 tahun sebagai renjer penyu dilantik Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia bagi membantu pemuliharaan penyu yang dilaksanakan di PKPP berkenaan.

“Arwah suami tidak pernah mengeluh keletihan setiap kali pulang ke rumah di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara pada dinihari sebelum menunaikan solat subuh dan bersiap-siap untuk turun ke laut mencari rezeki keluarga.

“Dia juga pernah menceritakan terpaksa menentang ribut semasa mengutip telur penyu di pantai pada tengah malam daripada membiarkannya dicuri orang,” katanya ketika ditemui pada majlis Penghargaan Pekerja Konservasi Penyu di PKPP, di sini.

Seramai lapan pekerja terbabit, iaitu renjer penyu yang bertanggungjawab mengawasi penyu bertelur dan mengutip telur berkenaan menerima sijil penghargaan yang disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim dan Ketua PKPP, Mastura Daud.

Zaharah berkata, setiap kali bertugas membantu mengutip telur dan membawanya ke PKPP, arwah Omar diberikan elaun khas oleh WWF-Malaysia sebagai penghargaan atas budi dan jasanya dalam membantu memulihara haiwan berkenaan daripada pupus.

Sementara itu, Mastura berkata, pusat berkenaan menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan arwah membantu memulihara penyu dan mengucapkan terima kasih kepada Zaharah dan anaknya, Junaidah, 33, yang sudi menerima anugerah berkenaan bagi pihak arwah.

Katanya, pendaratan penyu karah di Pantai Padang Kemunting menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di seluruh

Melaka, iaitu purata antara 400 hingga 500 pendaratan setahun.

Berita Harian X