X
Khamis, 13 Februari 2020 | 5:51pm
 Nyamuk Aedes penyebab demam denggi. Foto fail NSTP
Nyamuk Aedes penyebab demam denggi. Foto fail NSTP

Kes demam denggi di Melaka meningkat

MELAKA: Kes demam denggi di negeri ini merekodkan peningkatan apabila sebanyak 319 kes dicatatkan dalam tempoh antara Januari sehingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, berkata secara keseluruhan kes demam denggi mencatatkan peningkatan 19.92 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daripada 319 kes dilaporkan, daerah Melaka Tengah merekodkan kes tertinggi dengan keseluruhan 221 kes, manakala Jasin dan Alor Gajah masing-masing dengan 49 kes.

“Bagaimanapun, tiada wabak baharu dilaporkan selain satu lokaliti wabak dilaporkan tamat iaitu di Lorong Setia, Taman Ayer Keroh Heights,” katanya.

Chee Leong berkata, terdapat 10 lokaliti wabak aktif semasa direkodkan membabitkan tujuh di Melaka Tengah dan tiga lagi di Jasin.

“Lokaliti di Melaka Tengah adalah di Jalan Seri Emas 1, Taman Kesidang Seksyen 2, Desa Taming Sari, Taman Merdeka Fasa 1 (Cengal, Meranti, Pegaga, Tembusu, Taman Cheng Baru, Taman Desa Baru serta Taman Saujana Seksyen 3).

“Jasin pula di Taman Batang Melaka Jaya, Kampung Pulai Darat dan Taman Bemban Jaya,” katanya.

Chee Leong turut meminta orang ramai untuk bersama-sama menjaga kawasan persekitaran kediaman dan melakukan gotong-royong bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Berita Harian X