Khamis, 13 Februari 2020 | 5:29pm
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bersama peserta pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2019 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bersama peserta pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2019 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. Foto NSTP/Nor Amalina Alias

Rakyat Kelantan terima manfaat ECERDC

BACHOK: Lebih 25,000 rakyat negeri ini khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima manfaat daripada program Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak diperkenal 2013.

Tahun lalu, seramai 4,738 peserta menerima manfaat dan daripada jumlah itu 910 peserta berjaya menjadi usahawan dengan majoriti daripada mereka memperoleh pendapatan purata antara RM1,000 hingga RM10,000 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata kejayaan itu sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat negeri itu selain membasmi kemiskinan.

Katanya, lebih membanggakan apabila penyertaan peserta tahun lalu berjaya membuka peluang pekerjaan sebanyak 1,496 orang kepada warga tempatan.

“Walaupun ekonomi tidak memberangsangkan, kita dapat atasi dengan adanya program keusahawanan ECERDC. Anak muda terutamanya lebih berusaha sehingga ada yang mampu jana RM39,000 sebulan dan menggaji lapan pekerja.

“Perkara paling besar apabila kita dapat lahirkan usahawan muda dalam kalangan wanita dan suri rumah, sekali gus dapat mengurangkan penghijrahan anak-anak muda ke luar Kelantan bagi mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Kelantan 2019.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Datuk Ragu Simpasivam dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Ahmad Yakob berkata, ECERDC bukan saja meningkatkan ekonomi negeri melalui pemerkasaan usahawan tetapi juga membawa masuk pelaburan ke Kelantan dan menjayakan lima projek yang diumumkan Kerajaan Persekutuan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan pembinaan jambatan Palekbang, Tumpat.

Katanya, hari ini pihak kerajaan negeri dan ECERDC turut mengadakan mesyuarat bagi melaksanakan projek pembangunan menjelang 2025 melalui Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 1,000 peserta empower ECER menerima sijil kursus masing-masing selain 32 penerima anugerah pelajar cemerlang bagi program Latihan Akademik empower ECER.

Berita Harian X