Rabu, 12 Februari 2020 | 3:13pm
Zamri (tiga kanan) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Jenazah PERKESO kepada Manesh Zakarian,46, yang kematian suami akibat barah esofagus pada 30 Januari lalu. -Foto Noorazura Abdul Rahman
Zamri (tiga kanan) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Jenazah PERKESO kepada Manesh Zakarian,46, yang kematian suami akibat barah esofagus pada 30 Januari lalu. -Foto Noorazura Abdul Rahman

Kedah mohon pembenihan awan guna khidmat helikopter TUDM

ALOR SETAR: Kedah akan memohon bantuan kerajaan Persekutuan untuk melakukan pembenihan awan kali ketiga menggunakan khidmat helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf, berkata pembenihan awam kali ini penting supaya hujan di kawasan tadahan bagi mengelak paras air di tiga empangan utama terus susut.

Katanya, pembenihan awan sebelum ini belum berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan iaitu di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning.

“Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan akan bermula pada hujung Mac dan kita sedang kawal pelepasan air dari empangan supaya ia cukup hingga April.

“Cuma kita bimbang jika ramalan berkenaan tidak tepat, sebab itulah kita perlu lakukan pembenihan awan lagi bagi meningkatkan paras air di empangan, kita ada bukti menunjukkan paras empangan semakin susut dan tidak berlaku peningkatan walaupun hujan turun kelmarin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran bergerak Perluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Majlis Penyampaian Faedah PERKESO di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zamri berkata, kos bagi kaedah pembenihan awan menggunakan helikopter agak tinggi iaitu kira-kira RM80,000 berbanding hanya RM20,000 hingga RM30,000 menerusi kaedah biasa sebelum ini.

Namun, katanya, ia adalah kaedah yang sesuai mengikut keadaan awan ketika ini.

Selain itu, beliau turut mengakui sudah sampai masanya, kerajaan negeri perlu mencari kaedah pengurusan air yang lebih baik samada untuk pertanian mahupun domestik berikutan kajian turut menunjukkan taburan hujan di tiga negeri utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan berkurangan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

“Empangan kita juga menyalurkan air ke Pulau Pinang dan Perlis, jadi kita perlu pastikan air di empangan sentiasa mencukupi... Kita perlu teroka kaedah yang terbaik supaya tidak berlaku penggunaan air secara berlebihan.

“Contoh terbaik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang akan melaksanakan kaedah penanaman padi tabur kering bagi musim padi 1/2020, kaedah ini mengurangkan kebergantungan terhadap air dalam kuantiti tinggi,” katanya.

Berita Harian X