Isnin, 10 Februari 2020 | 1:14pm
SEBUAH kubur lama dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul selepas paras air di Tasik Gubir semakin susut sejak tiga minggu lalu. NSTP/Ihsan Khairul Anuar Yusop
SEBUAH kubur lama dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul selepas paras air di Tasik Gubir semakin susut sejak tiga minggu lalu. NSTP/Ihsan Khairul Anuar Yusop

Kubur lebih 200 tahun timbul akibat kemarau

SIK: Kawasan perkuburan lama dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul selepas paras air di Tasik Gubir surut sejak tiga minggu lalu.

Perkuburan seluas hampir sehektar itu dipercayai berada di Kampung Lubuk Kemahang yang ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Muda pada awal tahun 70-an.

Pengerusi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kota Aur, Khairul Anuar Yusop, berkata, penduduk sekitar dapat melihat tanah perkuburan itu sejak bulan lalu, selepas dimaklumkan nelayan tasik.

“Kali ini keadaan tasik yang kering agak luar biasa berbanding sebelumnya menyebabkan kawasan perkuburan lama itu dapat dilihat dengan jelas.

“Setiap tahun apabila musim kemarau memang tasik akan kering tapi tidaklah hinggakan seperti sekarang,” katanya.

Khairul Anuar berkata, selain kawasan perkuburan berkenaan, keadaan tasik yang kering turut menimbulkan kesan binaan bangunan yang dipercayai bekas balai polis.

Tambahnya, kawasan perkuburan itu sudah berusia lebih 200 tahun tetapi masih terdapat waris yang berziarah ke situ sekali setahun semasa air tasik kering.

“Terdapat pelbagai jenis bentuk batu nisan lama di sana, ada yang masih utuh dan ada yang sudah tertanggal,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang penduduk Abdul Rahman Musa, 77, berkata dia dilahirkan di kampung berkenaan pada 1943 sebelum diarahkan berpindah pada awal 50-an kerana pembinaan empangan.

Katanya, kubur itu dipercayai sudah wujud pada zaman nenek moyangnya dan sering menziarahinya setiap tahun ketika air musim kemarau.

“Walaupun tidak tahu yang mana satu kubur nenek moyang saya, tapi saya tidak melepaskan peluang menziarah kubur itu.

“Tak silap saya, terdapat lima kampung yang ditenggelamkan selain Kampung Lubuk Kemahang iaitu Kampung Tanjung Langsat, Kampung Nyeh, Kampung Banggol Pauh dan Kampung Kalai,” katanya.

Abdul Rahman berkata, penduduk kampung itu kemudian berpindah ke merata tempat termasuk ke daerah dan negeri lain bagi memberi laluan kepada projek empangan air.

Berita Harian X