Selasa, 28 Januari 2020 | 9:44am
ABDUL Hamid menunjukkan bekalan air paip yang sering terputus di rumahnya di Kampung Belukar, Gelong Rambai. - Foto Amran Hamid
ABDUL Hamid menunjukkan bekalan air paip yang sering terputus di rumahnya di Kampung Belukar, Gelong Rambai. - Foto Amran Hamid

Penduduk terima air berkarat

KUBANG PASU: Kira-kira 200 penduduk di Tunjang di sini, mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu, akibat musim kemarau yang melanda ketika ini.

Penduduk yang terjejas adalah dari Kampung Belukar, Gelong Rambai dan Kampung Belukar, Padang Limau.

Menurut Abdul Hamid, 60, berkata mereka hanya mendapat bekalan air pada tengah malam sehingga awal pagi sahaja setiap hari.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa berjaga bermula jam 12 tengah malam bagi menadah air paip sebelum bekalan dihentikan pada jam 7 pagi.

“Air yang disalurkan pula berkarat dan hanya dapat digunakan untuk mandi dan mengambil wuduk, jika untuk makan kami terpaksa beli air di luar.

“Saya tak tahu kenapa air yang disalurkan berkarat sedangkan paip baharu ditukar tahun lalu, bagi saya gangguan bekalan air kali ini sangat teruk kerana ia mengganggu aktiviti penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Zainal, 73, berkata kejadian itu memberi kesan kepada golongan warga emas kerana sukar mendapatkan bekalan air bersih.

Katanya, dia hanya mandi sehari sekali dan terpaksa membelanjakan wang untuk membeli air untuk diminum dan memasak.

“Ada jiran saya terpaksa membawa anak mandi di sungai, jika hanya harapkan air yang ditadah, memang tak cukup.

“Jadi saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera, sekurang-kurangnya kami dapat menadah air bersih walaupun hanya di tengah malam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (SADA) Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu terlebih dahulu sebelum memberi maklumat lanjut.

“Selepas mendapat maklumat mengenai punca gangguan bekalan air di kawasan terbabit, saya akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X