Isnin, 27 Januari 2020 | 1:23pm

Sarawak ketat kawalan sempadan Malaysia-Brunei

KUCHING: Sarawak mengetatkan kawalan di pintu masuk sempadan Malaysia-Brunei di Miri bagi mengekang penularan wabak coronavirus baru.

Langkah itu bagi mengawal kemasukan pelancong China dari Kota Kinabalu yang meneruskan perjalanan ke Sarawak dengan menggunakan jalan darat dari Sabah, kemudian Brunei sebelum ke Sungai Tujuh, Miri.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pegawai semua agensi berkaitan sudah ditempatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, bagi melakukan pemeriksaan rapi terhadap pelancong asing, khususnya warga China yang memasuki negeri melalui jalan darat itu.

“Ramai pelancong China menaiki penerbangan sewa khas mendarat di Kota Kinabalu dan kemudian difahamkan mereka melancong ke Sarawak.

“Biasanya mereka ke Sarawak menggunakan jalan darat. Sebab itu kita nelaksanakan langkah mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Brunei di Sungai Tujuh, Ini laluan utama masuk ke Sarawak melalui jalan darat di utara negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jom Berambeh Makan Durian di Surau Darul Qarar, Kampung Temedak, di Jalan Patingan, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) turut dipertingkatkan, walaupun tiada penerbangan terus dari China ke lapangan terbang itu.

Difahamkan, biasanya pelancong China menaiki penerbangan dari Singapura untuk ke Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beramah mesra bersama penduduk kampung ketika hadir ke program Ju Berambeh makan durian di Kampung Temedak Jalan Patinggan, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beramah mesra bersama penduduk kampung ketika hadir ke program Ju Berambeh makan durian di Kampung Temedak Jalan Patinggan, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad

Abang Johari berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga sudah mengadakan mesyuarat hari ini, bagi membincangkan langkah perlu untuk menangani penularan wabak coronavirus.

“Antara yang dibincangkan ialah langkah perlu sebagai persediaan menghadapi wabak itu, peruntukan yang diperlukan untuk menyediakan topeng hidung serta persediaan tempat kuarantin," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat itu yang dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.

“Mesyuarat itu mencapai beberapa keputusan, iaitu tindakan segera dan penyelarasan di antara agensi, penambahan aset dan peralatan bagi kawalan di pintu masuk utama.

“Langkah lain ialah menyediakan instrumen baru bagi pemantauan perjalanan setiap individu memasuki pintu masuk utama,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media program Ju Berambeh makan durian di Kampung Temedak Jalan Patinggan, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media program Ju Berambeh makan durian di Kampung Temedak Jalan Patinggan, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X