Isnin, 27 Januari 2020 | 12:07pm
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Pahang, Charin Promwichit bertemu Orang Di Selia (ODS) pada Majlis Ramah Mesra Bersama ODS sempena program khidmat masyarakat di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Pahang, Charin Promwichit bertemu Orang Di Selia (ODS) pada Majlis Ramah Mesra Bersama ODS sempena program khidmat masyarakat di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Sedia latihan kemahiran kepada banduan di penjara

KUANTAN: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Pahang berusaha menyediakan lebih banyak latihan kemahiran kepada banduan sebagai persiapan berdikari selepas dibebaskan.

Timbalan Pengarahnya, Charin Promwichit berkata, kini lebih 15 latihan kemahiran disediakan kepada banduan di Penjara Bentong, Penjara Penor dan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, di sini.

Katanya, antara latihan itu membabitkan bidang pertanian, kraftangan, jahitan, bengkel besi, ternakan ikan air tawar, dobi, tenun Pahang Diraja, membuat sabun, urutan tapak kaki dan ukiran kayu.

Terbaharu, Penjara Penor menyediakan latihan dalam bidang perladangan kelapa sawit, banduan menjalani latihan bermula di peringkat pembukaan ladang, menanam, memungut hasil, membuang pelepah, membaja, mengangkut buah dan menjual hasil.

“Ladang kelapa sawit milik Penjara Penor seluas 3.6 hektar, di sini digunakan sepenuhnya untuk banduan menjalani latihan berkenaan setiap bulan.

“Kita juga turut mengadakan latihan mengendalikan jentera jengkaut dengan sokongan agensi berkaitan yang melayakkan mereka memiliki lesen,” katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa kursus yang ditawarkan kepada banduan melayakkan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua boleh menjadi sokongan mendapatkan pekerjaan sesuai selepas dibebaskan.

Charin berkata, di PRP Kem Batu 10 latihan membuat sos dan kicap disediakan kepada Orang Di Selia (ODS), selain kebun sayur, memotong rumput, urutan tapak kaki dan jahitan.

“Matlamat utama latihan kemahiran diberikan kepada banduan dan ODS bagi memastikan bersedia menjalani kehidupan yang sempurna dan terjamin dengan memiliki pekerjaan apabila dibebaskan.

“Kemahiran dimiliki memberi peluang golongan itu menceburi bidang perniagaan makanan, pembuatan dan perkhidmatan dengan pendapatan lumayan.

“Justeru, saya menyarankan kepada ahli keluarga supaya dapat memberi sokongan kepada banduan supaya dapat mengikuti latihan dipenjara dengan baik,” katanya.

Berita Harian X