Jumaat, 24 Januari 2020 | 3:06pm
Mukhriz (dua dari kanan) bersama Rina (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Majlis Perasmian Jalan Padang Sera/Seputeh Daerah Kubang Pasu di Padang Sera hari ini. - Foto BERNAMA
Mukhriz (dua dari kanan) bersama Rina (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Majlis Perasmian Jalan Padang Sera/Seputeh Daerah Kubang Pasu di Padang Sera hari ini. - Foto BERNAMA

Kulim bakal miliki lapangan terbang antarabangsa

KUBANG PASU: Kerajaan negeri sudah melantik beberapa syarikat antarabangsa yang akan bertanggungjawab melaksanakan pelan induk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau akan membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan syarikat berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita baru nak mulakan proses pengambilan tanah dan buat masa ini, tender topografi di kawasan pembinaan sudah diluluskan.

“Saya akan buat pengumuman rasmi dan majlis penganugerahan kerana kita juga sudah melantik syarikat antarabangsa untuk menjalankan pelan induk pembinaan lapangan terbang berkenaan.

“Pemilihan syarikat dibuat menerusi proses tender yang lengkap dan sememangnya kita ambil masa kerana penting untuk ia dibuat secara telus,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian projek naik taraf Jalan Padang Sera/Siputeh di Kodiang, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Mukhriz berkata, pembangunan projek Kedah Rubber City (KRC) Hab Logistik di Bukit Kayu Hitam yang dikendalikan Northern Gateway Sdn Bhd juga sudah bermula awal tahun ini.

“Kita sudah cukup dengan merancang, strategi pun sudah ada, hujung tahun 2019 lalu dan tahun ini adalah untuk kita melaksanakan apa yang sudah dirancang,” katanya.

Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan berkata kerajaan negeri berharap lapangan terbang itu dapat beroperasi menjelang 2024 bagi memenuhi keperluan kargo dan logistik khususnya di Kulim dan Pulau Pinang.

Pada 19 Mac tahun lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Berita Harian X