Khamis, 23 Januari 2020 | 4:48pm
Kapasiti Empangan Muda berada pada tahap 11.76 peratus hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Kapasiti Empangan Muda berada pada tahap 11.76 peratus hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Air di tiga empangan terus menyusut

ALOR SETAR: Kedudukan air di tiga empangan utama di negeri ini semakin menurun dengan kapasiti Empangan Muda berada pada tahap 11.76 peratus hari ini.

Pengurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali, berkata bagaimanapun, kapasiti air Empangan Ahning sebanyak 60.67 peratus dan Empangan Pedu sebanyak 43.87 peratus masih mampu dilepaskan untuk kegunaan pertanian dan domestik.

“Dua minggu lalu (6 Januari), jumlah peratusan air di Empangan Muda adalah 26.72 peratus, Empangan Ahning (64.47 peratus) dan Empangan Pedu (50.18 peratus)

“Terdapat penurunan peratusan jumlah air terkawal namun MADA masih boleh melakukan pelepasan harian sebanyak 99.18 meter padu sesaat bagi menampung keperluan penanaman padi dan domestik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Fouzi berkata, apabila paras takungan air Empangan Pedu turun melepasi paras 27 peratus, keutamaan pelepasan air akan diberikan kepada kegunaan domestik sahaja.

“Kita sedang berusaha membekalkan air untuk tanaman padi di seluruh kawasan Muda disebabkan cuaca panas dan ketiadaan hujan lebat di kawasan berkenaan sejak penghujung November lalu.

“Secara lazimnya bagi musim ini, sebahagian besar pengairan tanaman padi bergantung kepada turunan hujan, namun beberapa tahun kebelakangan ini ia berkurang sebanyak 1645 milimeter (mm) berbanding 2082 mm bagi purata turunan hujan 40 tahun terdahulu.

“MADA meneruskan pengairan tanaman padi menggunakan sumber air daripada empangan MADA bagi memastikan semua tanaman padi dapat dituai pada bulan Februari dan Mac depan,” katanya.

Berita Harian X