Selasa, 21 Januari 2020 | 5:02pm

Pejabat JPN sesak luar biasa diserbu orang ramai

TAWAU : Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini mengalami kesesakan luar biasa apabila diserbu orang ramai yang mahu mendapatkan pengesahan salinan kad pengenalan.

Selain Tawau, beberapa daerah termasuk Sandakan dan Semporna turut mengalami situasi sama apabila merekodkan purata kehadiran antara 500 hingga 1000 pengunjung setiap hari menyebabkan jabatan itu mengalami kesesakan luar biasa.

Tinjauan di pejabat JPN di Pusat Transformasi (UTC) Tawau, mendapati orang ramai mula hadir dan beratur seawal 7 pagi untuk mendapatkan nombor giliran walaupun operasi di kaunter hanya dibuka pada jam 10 pagi.

Kesesakan luar biasa itu berlaku sejak minggu lalu berikutan orang ramai mahu mengemukakan permohonan Bantuan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) yang menyasarkan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) atau pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.

Difahamkan, dana terbabit yang memperuntukkan bantuan maksima RM500 satu keluarga untuk sekolah rendah dan menengah manakala RM1,000 untuk pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mula viral di negeri ini sejak 6 Januari lalu dengan tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Januari ini.

Seorang penduduk, Suriyanti Mahmud, 42, dari Kampung Sungai Tongkang, di Pulau Sebatik, berkata dia datang awal ke JPN menaiki bot penambang pada pada jam 7 pagi.

“Saya dapat tahu mengenai dana bantuan ini pada minggu lalu dan mengambil peluang untuk membuat pengesahan kad pengenalan, tapi tidak sangka pula begitu ramai yang datang berurusan hari ini.

“Walaupun terpaksa berbaris panjang namun saya berharap dapat menyelesaikannya hari ini juga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Ahmad Saiful, 54, berkata dia hadir semalam (Isnin) bagaimanapun tidak sempat menyelesaikan urusan di kaunter JPN berikutan kehadiran terlalu ramai orang.

“Kebetulan ketika itu nombor giliran agak jauh dan memandangkan ada urusan lain saya tidak dapat menunggu lama dan pagi ini saya datang semula untuk mendapatkan pengesahan kad pengenalan sendiri dan dua orang anak,” katanya.

Berita Harian X