X
Ahad, 19 Januari 2020 | 3:03pm
Empangan Sungai Lebam di Bandar Penawar, Kota Tinggi. MetMalaysia juga sudah mengeluarkan ramalan seluruh Johor hanya menerima hujan pada paras purata antara 150mm hingga 400mm dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Empangan Sungai Lebam di Bandar Penawar, Kota Tinggi. MetMalaysia juga sudah mengeluarkan ramalan seluruh Johor hanya menerima hujan pada paras purata antara 150mm hingga 400mm dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

BAKAJ, Ranhill SAJ buat pembenihan awan di Johor

JOHOR BAHRU: Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) dijangka memulakan pembenihan awan pada awal bulan depan bagi mengatasi masalah kurang taburan hujan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata ia berikutan musim panas berpanjangan sejak awal bulan ini dijangka menjejaskan paras empangan di Johor.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga sudah mengeluarkan ramalan seluruh Johor hanya menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter (mm) hingga 400mm dan dijangka berterusan sehingga Mac ini.

“Setakat hari ini, keadaan paras air di 16 empangan dan kawasan tadahan air seluruh Johor adalah memuaskan serta kebanyakannya berada di atas paras amaran.

“Misalnya tiga empangan yang sebelum ini sering berada di paras amaran atau kritikal iaitu Empangan Lebam, Congok dan Machap juga paras airnya dalam keadaan baik dan memuaskan.

“Bagaimanapun, dengan situasi kurangnya hujan dan perubahan cuaca ke musim panas yang sudah bermula dengan permintaan tinggi berikutan limpahan pembangunan serta penambahan penduduk, pemantauan secara terperinci terhadap paras muka sauk empangan dan sungai akan terus dilakukan dalam tempoh dua minggu ini oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Langkah pembenihan awan dilakukan bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan untuk meminimumkan gangguan bekalan air terutama pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, Puah berkata, pengguna disarankan lebih berhemah menggunakan air dan elakkan penggunaan berlebihan supaya tidak berlaku pembaziran dan bekalan air terawat sentiasa terjamin.

Berita Harian X