Ahad, 5 Januari 2020 | 12:51pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Padah tunggang motosikal lawan arah

TUARAN: Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal melawan arah mengundang padah apabila cedera parah selepas bertembung dengan kereta Perodua Axia di Jalan Berungis - Tamparuli berhampiran Kampung Tambalugu Tamparuli, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 28 tahun parah di bahagian badan dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang dari arahTamparuli menghala Berungis di laluan bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa bertembung dengan kereta terbabit yang turut menghala ke Tamparuli. Akibat insiden itu, mangsa tercampak di bahu kiri jalan dan cedera parah, manakala penumpang kereta Perodua Axia iaitu kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami cedera ringan di dahi,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta yang juga seorang lelaki berusia 53 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setakat ini, mangsa penunggang motosikal masih menjalani rawatan di hospital Tuaran manakala kanak-kanak itu dilaporkan stabil.”

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X