Ahad, 5 Januari 2020 | 12:24pm
Antara pelancong asing yang diberi notis kompaun oleh anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau, menerusi Ops Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di kawasan Lapangan Terbang Tawau (LTT). - Foto ihsan Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau
Antara pelancong asing yang diberi notis kompaun oleh anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau, menerusi Ops Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di kawasan Lapangan Terbang Tawau (LTT). - Foto ihsan Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau

Pelancong asing tidak patuh larangan merokok

TAWAU: Perbuatan segelintir pelancong asing yang sewenang-wenangnya merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Tawau, di sini menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas, termasuk diberikan notis kompaun dalam operasi khas semalam.

Pegawai Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau (PKPT), Rahman Sampe, berkata dalam operasi membabitkan 26 anggota penguatkuasa itu, keseluruhannya 23 notis kompaun dikeluarkan terhadap 23 individu, dengan 14 daripadanya adalah pelancong asing dari China.

Katanya, kesemua individu terbabit dikesan melakukan kesalahan itu menerusi operasi khas Ops Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 10 malam semalam.

Katanya, sepanjang operasi itu pihaknya mengesan segelintir individu, termasuk pelancong asing yang masih berdegil atau dengan sengaja tidak mengendahkan papan tanda larangan merokok yang dipasang di beberapa lokasi strategik termasuk di balai ketibaan di lapangan terbang berkenaan.

“Seluruh kawasan lapangan terbang, termasuk kawasan parkir adalah zon larangan merokok seperti yang diwartakan mengikut PPKHT 2004. Orang ramai sama ada warga tempatan mahupun pelancong asing perlu mematuhi peraturan itu.

“Bagi kesalahan Seksyen 32B mengikut Peraturan 11(1)(g) Individu yang diberi notis ini perlu hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atau membayar kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rahman berkata, selain kawasan lapangan terbang, pihaknya turut mengeluarkan empat notis di bawah Peraturan 12(1)(a) kepada pemilik restoran di Balung.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar ejen pelancongan membantu pihak berkuasa dengan memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai peraturan dan larangan merokok di lapangan terbang, selain premis kerajaan seperti hospital dan kawasan lain yang sudah digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

Berita Harian X