Rabu, 1 Januari 2020 | 3:34pm
SEORANG pelancong Mesir diberikan notis saman oleh pegawai Jabatan Kesihatan ketika menjalankan operasi hari pertama larangan merokok di dalam premis makanan yang di jalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Dataran Larkin, Johor Bahru. NSTP/Zain Ahmed
SEORANG pelancong Mesir diberikan notis saman oleh pegawai Jabatan Kesihatan ketika menjalankan operasi hari pertama larangan merokok di dalam premis makanan yang di jalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Dataran Larkin, Johor Bahru. NSTP/Zain Ahmed

Pelancong Mesir, Singapura disaman merokok

JOHOR BAHRU: Dua pelancong Mesir dan Singapura antara tiga perokok dan dua penghisap vape yang diberikan notis saman pada operasi hari pertama larangan merokok di dalam premis makanan di daerah ini sehingga tengah hari tadi.

Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor itu, seorang pelancong Mesir dilihat terkejut apabila didatangi dua pegawai kesihatan dan persekitaran daerah yang menegur perbuatannya merokok di dalam sebuah restoran di Dataran Larkin.

Pelancong lelaki berusia 25 tahun yang sudah hampir tiga minggu bercuti di negara ini, mendakwa tidak tahu mengenai larangan merokok dalam premis bermula hari ini walaupun terdapat beberapa poster larangan merokok di restoran berkenaan.

Dia kemudian dilihat akur dan menerima notis saman dikeluarkan selepas pegawai berkenaan menerangkan mengenai peraturan larangan merokok termasuk perlu berada sekurang-kurangnya tiga meter di luar premis jika mahu merokok.

Pada operasi berkenaan pegawai kesihatan dan persekitaran turut membawa poster serta papan tanda mini larangan merokok sebagai peringatan pada orang awam.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Johor, Kayrul Hidayah Mansor, berkata 150 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Johor ditugaskan memantau dan mengeluarkan notis saman kepada perokok ingkar mulai jam 8 pagi hingga tengah malam nanti.

“Tindakan mengeluarkan notis saman diambil berikutan penguatkuasaan larangan merokok dalam premis sudah bermula hari ini dengan tempoh pendidikan selama enam bulan berakhir semalam.

“Kita akan mengumpulkan data berapa banyak notis saman di negeri ini dan akan mengeluarkan laporan rasmi kepada media lewat petang nanti atau esok pagi, ” katanya pada operasi berkenaan.

Berita Harian X