Isnin, 23 Disember 2019 | 8:40pm
CHARLES Santiago semasa sidang media berhubung penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Cyberjaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
CHARLES Santiago semasa sidang media berhubung penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Cyberjaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Bekalan air kepada 1.5 pengguna di Selangor mula disalur malam ini

CYBERJAYA: Lebih 1.5 juta penduduk di Selangor yang terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya sejak kelmarin, dijangka menerima semula bekalan air selewat-lewatnya tengah malam ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih sudah beroperasi bermula jam 1 tengah hari tadi.

“Bekalan air akan mula disalurkan dan penduduk yang terjejas akan menerima semula bekalan air secara berperingkat selewat-lewatnya tengah malam ini,” katanya kepada media di pejabat SPAN di sini, hari ini.

Sebelum ini SPAN memaklumkan, pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang (lubang periksa) kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab, dikenal pasti punca pencemaran bau pada sumber bekalan air ke LRA Sungai Semenyih.

Berikutan itu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, bagi mengelakkan air terawat yang disalurkan kepada pengguna, terjejas sekali gus menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Charles berkata, siasatan IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, dianggarkan sebanyak 50 meter padu sisa haram yang dikenal pasti dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk minyak hitam, bahan lemak makanan dan sisa industri.

Bagi mengelak insiden sama berulang, katanya, pihaknya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor membuat pemantauan, seterusnya menguatkuasakan peraturan supaya semua restoran menggunakan perangkap gris atau minyak di premis masing-masing.

“Kita dapati dalam lurang ada sisa lemak, ia mesti datang dari restoran. Jadi kita minta PBT pantau, kalau restoran tak guna perangkap gris atau minyak, mereka mesti dikompaun atau dikehendaki menyediakan perangkap itu segera.

“Ini kerana kita tak mahu sisa itu terus masuk ke dalam longkang dan akhirnya mencemarkan sungai serta menjejaskan bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga kita meminta PBT dan JAS memantau industri haram khususnya di kawasan berhampiran LRA supaya masalah sama tidak berulang, termasuk memeriksa bengkel kereta besar

“Kita juga meminta IWK untuk bekerjasama dengan JAS, seterusnya menaik taraf kemudahan kawasan sekitar LRA agar pemantauan lebih ketat 24 jam dapat dilakukan di setiap lurang termasuk menempatkan kamera litar tertutup (CCTV).

“Selain itu, kita minta IWK buat perancangan komprehensif untuk seluruh Selangor bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berhampiran loji rawatan air supaya masalah ini tak berulang,” katanya sambil memaklumkan SPAN sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbaharu itu, semalam.

Charles berkata, pihaknya juga akan meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula keputusan membekukan penggunaan kolam takungan air hiliran atau ‘Off River Storage’ untuk mengatasi masalah bekalan air.

“Ini bagi membolehkan kita menggunakan sumber air dari kawasan lain untuk dihantar ke loji rawatan, seterusnya disalurkan ke kediaman pengguna, jika berlaku situasi sama.

Ditanya adalah akta sedia ada tidak mencukupi untuk menimbulkan rasa gerun kepada mereka yang mencemarkan sumber air, beliau berkata, undang-undang sedia ada sudah cukup kuat iaitu hukuman mati mandatori kepada pihak terbabit cuma ia tidak dilaksanakan.

Mengenai adakah wajar pesalah membayar kerugian kepada pengguna terjejas, katanya, pengguna boleh menggunakan hak mereka untuk membawa kes berkenaan ke mula pengadilan bagi mendapatkan pampasan sewajarnya.

Berita Harian X