Khamis, 12 Disember 2019 | 6:04pm
DATUK Fouzi Ali
DATUK Fouzi Ali

MADA usaha pastikan bekalan air sawah mencukupi

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) komited dalam memastikan bekalan air untuk tanaman padi di seluruh kawasan Muda tidak terganggu walaupun dilanda cuaca panas sejak awal bulan lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Fouzi Ali, berkata sebahagian besar pengairan tanaman padi bergantung kepada taburan hujan.

“Taburan hujan pada tahun ini kurang berbanding purata 20 tahun lalu, namun sumber air daripada empangan-empangan MADA akan digunakan bagi memastikan tanaman padi dapat dituai pada Februari dan Mac depan.

“Berdasarkan Jadual Penanaman Padi dan Bekalan Air Musim 2/2019 yang dikeluarkan Ogos lalu, tarikh akhir bekalan air bagi fasa satu adalah pada 28 Januari.

“Fasa kedua dan ketiga masing-masing adalah pada 6 dan 7 Februari depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan rekod, sehingga 13 Disember lalu, kedudukan takungan empangan Pedu adalah 62.03 peratus manakala empangan Muda, 46.40 peratus dan empangan Ahning adalah pada tahap 69.75 peratus.

Pelepasan harian sebanyak 141.58 meter padu sesaat dari empangan Pedu sedang dijalankan bagi tujuan pengairan tanaman padi dan kegunaan bekalan air mentah domestik.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta kerjasama petani untuk bekerjasama mengoptimumkan penggunaan air bagi mengelakkan pembaziran.

“Kawasan yang tinggi perlu dipam dan kita akan berusaha memastikan paras air sungai dan tali air berada pada tahap sesuai bagi tujuan terbabit.

“Saya juga turut mengarahkan pejabat PPK MADA untuk sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan air sawah mencukupi.

“Petani juga dialu-alukan untuk menghubungi PPK MADA sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya.

Berita Harian X