Rabu, 11 Disember 2019 | 3:49pm

Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu keluarkan 117 notis

KOTA KINABALU: Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu tidak akan berkompromi terhadap perokok yang masih mengabaikan larangan merokok di premis makanan dan pemilik restoran yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

Pegawai Kesihatan Kota Kinabalu, Dr Julaidah Sharip berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 912 premis restoran diperiksa dan 117 notis sudah dikeluarkan membabitkan kesalahan itu.

Katanya, pihaknya akan melakukan operasi berterusan dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pewartaan tempat makan awam sebagai kawasan larangan merokok.

“Dalam operasi yang dijalankan di premis makanan sekitar Inanam Capital, petang semalam, sebanyak 26 premis makanan diperiksa dan lima notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik premis.

“Ini adalah peringatan terakhir kepada perokok bahawa kerajaan akan menguatkuasakan larangan merokok di premis makan mulai 1 Januari 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Julaidah berkata, tindakan itu dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 yang mana pesalah boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 sekiranya didapati bersalah.

Sekiranya pesalah gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dan boleh denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis yang gagal meletakkan tanda larangan merokok boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 atau denda maksimum RM3,000 dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar kompaun, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X