Sabtu, 7 Disember 2019 | 10:32am
Kanak-kanak peserta berkhatan, Muhammad Fatih Darwisy Amir, 10 (tengah) segak memakai tengkolok dan selempang menunggu giliran untuk dikhatankan pada Majlis Khatan Perdana 2019 di Masjid A'Isyah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Pakai tengkolok kurangkan gementar berkhatan

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak memakai tengkolok dan selempang bagi mengurangkan rasa gemuruh pada Majlis Khatan Perdana di Masjid A’Isyah Kampung Sungai Menghulu di sini, hari ini.

Muhammad Fatih Darwisy Amir, 10, berkata ibunya membuat sendiri tengkolok dan selempang berkenaan.

“Saya memang nak pakai untuk dapatkan kelainan, selain mahu hilangkan rasa gemuruh untuk berkhatan.

“Memang saya dapat perhatian dalam majlis ini dan rasa seronok untuk berkhatan beramai-ramai bersama rakan,” katanya yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang, di sini.

Seorang lagi peserta, Mohamad Syawal Mazlan, 9, berkata dia teruja untuk menyertai majlis khatan, walaupun tidak melakukan apa-apa gimik untuk hilangkan rasa gementar.

Sebahagian 30 kanak-kanak dimandikan dengan pancutan air bomba pada Majlis Khatan Perdana 2019 di Masjid A'Isyah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Sebahagian 30 kanak-kanak dimandikan dengan pancutan air bomba pada Majlis Khatan Perdana 2019 di Masjid A'Isyah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

“Hari ini saya datang nak ‘bersunat’ dengan rakan-rakan, saya tak takut sebab abah cakap sakit sikit saja, macam kena gigit semut,” katanya yang juga murid Tahun Tiga SK Sungai Menghulu di sini.

Terdahulu, kanak-kanak terbabit diarak sejauh 50 meter dengan paluan gendang silat selain dimandikan dengan pancutan air bomba.

Sementara itu, Imam Masjid A’Isyah, Othman Yahya berkata, program sulung itu dianjurkan bersama jawatankuasa masjid dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Menghulu.

Berita Harian X