Rabu, 4 Disember 2019 | 6:13pm
Veerapan (dua dari kanan) melihat longgokan sampah haram yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab berhampiran sungai di Kampung Abdullah Mantin. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Veerapan (dua dari kanan) melihat longgokan sampah haram yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab berhampiran sungai di Kampung Abdullah Mantin. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Siasat kes buang sampah di kawasan sungai

SEREMBAN: Kerajaan negeri mahu siasatan menyeluruh dilakukan selepas pihak berkuasa mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan sungai berhampiran Kampung Abdullah Mantin, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pihaknya juga sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta meminta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk mengambil tindakan lanjut, termasuk dari segi undang-undang.

Katanya, pemeriksaan di lokasi terbabit menemui longgokan sampah yang antara lain terdiri daripada kayu, plastik, kertas, sisa binaan dan getah.

Beliau berkata, sampah yang mengotori air sungai berkenaan dibimbangi boleh menyebabkan pencemaran, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk sekitar, terutama di kawasan perkampungan itu.

“Sampah yang mengandungi bahan kimia boleh mengakibatkan pencemaran, malah banyak kayu mudah terbakar turut dibuang di sini.

“Kita juga berjaya menahan sebuah lori yang membawa sampah dan sisa pepejal ke lokasi ini,” katanya kepada pemberita di kawasan terbabit, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah JAS negeri, S Sivanathiran, dan anggota penguat kuasa SWCorp.

Difahamkan, pihak membuang sampah di kawasan terbabit menggunakan laluan tersorok dikelilingi semak serta terletak kira-kira 800 meter dari jalan besar, dan perbuatan itu dipercayai berlaku sejak awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, hasil siasatan awal turut mendapati berlaku kegiatan mengorek tanah di kawasan berhampiran dipercayai untuk menanam sampah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan pihak terbabit membersihkan kawasan berkenaan dengan segera.

“Kita akan memastikan mereka yang melakukan kegiatan ini membersihkan semula kawasan kerana kita percaya tanah ini adalah milik kerajaan berikutan berhampiran sungai,” katanya.

Sementara itu, Sivanathiran pula berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa sampel sampah dan cecair terdapat di kawasan pembuangan terbabit serta air sungai untuk dianalisis di makmal.

“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes ini mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika didapati bersalah, boleh dihukum denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Berita Harian X