Rabu, 27 November 2019 | 1:40pm
Kerosakan peralatan disebabkan kecurian kabel elektrik semakin berleluasa di Bintulu. - Ihsan SEB
Kerosakan peralatan disebabkan kecurian kabel elektrik semakin berleluasa di Bintulu. - Ihsan SEB

SEB tingkat rondaan malam

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) menerusi anak syarikatnya, SESCO Berhad akan meningkatkan rondaan pada waktu malam bagi menangani masalah kecurian kabel elektrik yang semakin berleluasa.

Pengurus SEB Wilayah Bintulu, Yong Hua Keh, berkata Bintulu mencatatkan peningkatan kes yang ketara dengan 10 kes dalam tempoh dua bulan.

“Setakat ini, 14 kes sudah direkodkan di Bintulu dengan kerugian RM200,000. Walaupun pelbagai usaha diambil untuk meningkatkan keselamatan, masalah ini bagai tidak pernah ada kesudahannya.

“Kejadian curi kabel ini bukan sahaja merosakkan peralatan tetapi turut menyumbang kepada gangguan bekalan kuasa serta menimbulkan kesulitan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SESCO juga bekerjasama dengan polis dalam operasi bersama untuk menjalankan pemeriksaan di premis membeli barangan lusuh.

“Ini sebagai usaha untuk menghentikan pembelian kabel tembaga curi dalam kalangan peniaga.

“Orang ramai boleh melaporkan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam SEB di talian 1300-88-3111 atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com,” katanya.

Berita Harian X