Isnin, 25 November 2019 | 5:21pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung. - Foto Zain Ahmed
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung. - Foto Zain Ahmed

Tahun Melawat Johor 2020 letak sasaran pulangan RM27b

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menetapkan sasaran pulangan balik RM27.32 bilion dalam bentuk perbelanjaan pelancongan menerusi kempen Tahun Melawat Johor 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung, berkata kerajaan negeri menetapkan sasaran kehadiran 18.4 juta pelawat, dengan 8.4 juta pelancong bermalam di Johor sepanjang tahun hadapan.

Katanya, kerajaan negeri optimis dengan penetapan sasaran kehadiran pelancong ini dan yakin ia dapat dicapai kerana trend kedatangan pelancong menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan.

“Johor menerima manfaat dari segi pulangan balik dalam bentuk perbelanjaan pelancongan sejumlah RM23.43 bilion pada 2017 dan RM24.8 bilion tahun lalu.

“Kerajaan negeri sudah menetapkan sasaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM26.04 bilion pada tahun ini,” katanya menjawab soalan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BH-Penawar) pada sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) bagi Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini, hari ini.

Cai Tung berkata, kerajaan negeri turut bercadang memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang datang dan menginap di hotel di negeri itu.

“Kadar yang akan dikenakan pastilah tidak terlalu tinggi dan Johor mengutip RM15.8 juta cukai pelancongan sepanjang tahun lalu, keempat tertinggi dari segi kutipan cukai pelancongan tahun lalu selepas Sabah, Pulau Pinang dan Selangor.

“Pada 27 Mac lalu, Kementerian Kewangan mengagihkan 50 peratus daripada kutipan cukai pelancongan 2018 kepada kerajaan negeri masing-masing.

“Johor menerima RM7.99 juta sebagai hasil baharu kerajaan negeri dan agihan 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan ini adalah sebagai satu pemberian baharu kepada kerajaan negeri dikenali sebagai Pemberian Pelancongan,” katanya.

Berita Harian X