Isnin, 25 November 2019 | 11:46am
LIOW Cai Tung
LIOW Cai Tung

Tahun Melawat Johor 2020 sasar pulangan RM27.32 bilion

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menetapkan sasaran RM27.32 bilion pulangan balik dalam bentuk perbelanjaan pelancongan menerusi kempen Tahun Melawat Johor 2020 sepanjang tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung, berkata kerajaan negeri juga menetapkan sasaran kehadiran pelawat seramai 18.4 juta dan 8.4 juta pelancong bermalam di Johor sepanjang tahun hadapan.

Katanya, kerajaan negeri optimis dengan penetapan sasaran kehadiran pelancong itu, sekali gus yakin ia dapat dicapai kerana trend kedatangan pelancong menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan.

“Hasilnya, Johor menerima manfaat dari segi pulangan balik dalam bentuk perbelanjaan pelancongan berjumlah RM23.43 bilion pada 2017 dan RM24.8 bilion pada 2018.

“Kerajaan negeri sudah menetapkan sasaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM26.04 bilion pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BH-Penawar) pada sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) bagi Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini, hari ini.

Cai Tung berkata, Johor berjaya mengutip cukai pelancongan RM15.8 juta sepanjang tahun lalu, menjadi negeri keempat tertinggi dari segi kutipan cukai pelancongan tahun lalu selepas Sabah, Pulau Pinang dan Selangor.

“Pada 27 Mac lalu, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan mengagihkan 50 peratus daripada kutipan cukai pelancongan tahun 2018 kepada kerajaan negeri masing-masing.

“Johor menerima RM7.99 juta sebagai hasil baharu kerajaan negeri dan agihan 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan ini adalah sebagai satu pemberian baharu kepada kerajaan negeri dikenali sebagai Pemberian Pelancongan,” katanya.

Berita Harian X