Jumaat, 22 November 2019 | 3:23pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari pada sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari pada sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Perak kerjasama dengan Orang Asli tangani pemburuan haram haiwan terancam

IPOH: Perak bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) giat bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi meningkat kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan haiwan yang diancam kepupusan akibat pemburuan haram, terutama harimau belang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, berkata selain itu, Perbadanan Taman Negeri Perak juga turut membabitkan komuniti Orang Asli suku Jahai untuk menghebahkan kepentingan konservasi dan membantu mewujudkan unit rondaan komuniti.

“PERHILITAN sedang giat menjalankan Kempen Selamatkan Harimau Malaya. Kempen ini turut dinaungi oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia.

“Hasil kempen ini juga membawa kerjasama Jabatan PERHILITAN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi aktiviti pemburuan haram di mana kawasan Royal Belum dan Temengor adalah kawasan operasi utama dalam kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Loh Sze Yee (PH-Jalong) pada sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sze Yee mahukan penjelasan berhubung kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dilaksanakan kerajaan negeri dan PERHILITAN, baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, pada setiap masa terdapat beberapa pasukan membabitkan 10 anggota PERHILITAN dan PDRM melakukan rondaan di dalam hutan kawasan berkenaan bagi menangkap pemburu haram.

Katanya, ketika ini tiga spesies haiwan yang dilaporkan terancam adalah membabitkan harimau belang yang kini dianggar hanya terdapat sekitar 40 hingga 50 ekor, gajah (100 hingga 130) dan seladang (50 hingga 60) di kawasan habitat mereka iaitu di Hutan Royal Belum, Hutan Simpan Temengor dan Hutan Simpan Piah.

Dalam pada itu, Abd Aziz berkata, sebanyak 12 spesies haiwan besar darat dilaporkan masih terdapat di Perak.

Haiwan berkenaan adalah gajah, seladang, tapir, harimau, rusa, beruang, kijang, kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, babi hutan dan anjing hutan.

Berita Harian X