Khamis, 21 November 2019 | 4:16pm
KETUA Menteri, Adly Zahari ketika ditemui selepas sesi penggulungan bajet, penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Seri Negeri, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Menteri, Adly Zahari ketika ditemui selepas sesi penggulungan bajet, penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Seri Negeri, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

Ketua Menteri lega tiada undi tidak percaya

AYER KEROH: Ayer Keroh: Ketua Menteri, Adly Zahari menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mahu pun pembangkang kerana tidak mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Adly berkata, spekulasi yang wujud di media sosial berhubung gerakan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka, termasuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya hanya akan menimbulkan keresahan rakyat, malah memberi kesan negatif kepada pentadbiran bagi jangka masa panjang.

“Bila tiada yang menolak (bajet), ini menunjukkan isyarat positif kepada kerajaan kerana kita tahu isu ini (undi tidak percaya) meresahkan rakyat kerana ia lebih menyukarkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia juga tidak baik kepada pelaburan negeri bagi jangka panjang. Jadi, saya harap kita tumpukan kepada pembangunan negeri, jika ada isu berbangkit, ia boleh dibincangkan di peringkat yang kita sediakan.

“Justeru, terima kasih, kepada pihak media, di semua peringkat pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas sesi penggulungan bajet, penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Seri Negeri, hari ini.

Adly (PH-Bukit Katil) berkata demikian pada sidang media mengulas usul undi tidak percaya terhadap dirinya yang dikatakan dilakukan hari ini, namun desas- desus itu meleset apabila sesi penggulungan bajet itu berlangsung aman tanpa sebarang provokasi.

Ia berdasarkan laporan sebuah portal berita memetik sebuah akhbar berbahasa Cina berhubung seorang pemimpin PH Melaka didakwa bertemu dengan wakil rakyat UMNO di luar negara bagi mengukuhkan rancangan menjatuhkannya daripada jawatan Ketua Menteri.

Sumber itu dipetik berkata, undi tidak percaya akan dilakukan dengan menafikan bajet negeri yang akan dibentangkan dalam sidang DUN.

Sementara itu, usul Belanjawan Melaka 2020 yang dibentangkan Adly, Isnin lalu diluluskan dengan undian terbanyak.

Seramai 14 ahli Dewan menyokong usul berkenaan, diikuti 13 berkecuali manakala satu tidak hadir.

Susulan itu, Speaker Datuk Wira Omar Jaafar mengumumkan usul berkenaan diluluskan dan diterima.

Berita Harian X