Rabu, 20 November 2019 | 5:42pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (lapan dari kiri) model dua hospital swasta yang akan dibina di Tabuan Jaya, Kuching. - Foto ihsan UKAS
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (lapan dari kiri) model dua hospital swasta yang akan dibina di Tabuan Jaya, Kuching. - Foto ihsan UKAS

Dua hospital antarabangsa gamit pelancongan kesihatan

KUCHING: Dua hospital antarabangsa yang akan dibina di Sarawak bakal merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kedua-dua hospital yang akan diusahakan syarikat antarabangsa itu dibina khas untuk rawatan kanser dan jantung serta penyakit baharu yang lain.

“Kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaannya dan satu daripada hospital itu akan dibina di Tabuan Jaya, Kuching.

“Pembinaan hospital ini bakal menyumbang kepada peningkatan pelancongan kesihatan di Sarawak,” katanya selepas merasmikan Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan inisiatif kerajaan negeri ke arah teknologi digital, perubatan berasaskan teknologi seperti Augmented Reality (AR) dan Realiti Maya (VR) perlu diteroka oleh Sarawak.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMA dan beberapa industri dalam kerjasama membangunkan teknologi digital di Sarawak.

Berita Harian X