Selasa, 19 November 2019 | 4:16pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kiri) ketika sidang media mengenai isu Sungai Kim Kim, di Iskandar Puteri. NSTP/Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kiri) ketika sidang media mengenai isu Sungai Kim Kim, di Iskandar Puteri. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Pasir Gudang kawasan industri pertama dilengkapi sistem amaran pencemaran

ISKANDAR PUTERI: Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri pertama di Malaysia dilengkapi dengan sistem amaran waktu sebenar untuk jumlah kompaun organik tidak stabil (TVOC) menjelang suku kedua tahun hadapan.

TVOC adalah jumlah bahan kimia organik yang mempunyai tekanan wap yang tinggi pada suhu bilik yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan jika bacaannya terlalu tinggi dalam udara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata ia susulan pemasangan 25 alat pengukur gas TVOC automatik, iaitu Photo-Ionised Detectors (PID) di sekitar Pasir Gudang.

Katanya, dengan pemasangan alat berkenaan ia membina rangkaian sistem amaran waktu sebenar yang keseluruhannya bernilai RM 2.52 juta.

“Amaran awal dapat membantu supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil secepat mungkin dan proses pemasangan PID sedang dijalankan di mana 23 daripada 25 PID sudah siap dipasang di sekitar Pasir Gudang.

“Dijangka semua akan selesai pada hujung bulan ini dan selepas pemasangan PID, proses penentu ukuran asas akan dijalankan selama kira-kira tiga bulan.

“Dijangkakan Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem amaran waktu sebenar untuk TVOC menjelang suku kedua tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas bagi membincangkan hasil kajian analisis beban dan kapasiti Pasir Gudang di Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, perbicaraan empat suspek pencemaran Sungai Kim Kim yang sudah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada 24 Mac lalu juga akan diteruskan pada 3 Disember ini.

“Lebih banyak peralatan pemantauan disediakan seperti Stesen Bergerak yang merangkumi iaitu Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) bernilai RM 1.1 juta, Gas Chromatography with Flame Ionization Detector (GCFID) (RM 1.2 juta) dan enam alat pengukuran mudah alih gas toksik (RM 2.34 juta).

“Ini (stesen bergerak) bukan sahaja dapat digunakan di Pasir Gudang, malah akan dimanfaatkan seluruh negara,” katanya.

Berita Harian X