Khamis, 14 November 2019 | 6:07pm
DR Henry Chan
DR Henry Chan

Kolar satelit, pagar bantu kurangkan konflik manusia-gajah

KOTA KINABALU: Penggunaan alat pengesan membabitkan kolar satelit dan pembinaan pagar ialah antara usaha dilakukan bagi membantu mengurangkan konflik manusia-gajah di negeri ini.

Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr Henry Chan, berkata mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah serta syarikat perladangan untuk meletakkan kolar satelit pada gajah di mana pergerakan haiwan itu dapat dipantau setiap empat jam.

“Maklumat berkenaan kemudian dikongsi dengan syarikat perladangan yang menjalinkan kerjasama dengan WWF-Malaysia.

“Ia bagi membolehkan pihak berkenaan memaklumkan kepada pekerja mereka supaya tidak terserempak dengan kumpulan gajah yang melalui kawasan ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas WWF-Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai oleh Pengerusi WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Mengulas lanjut, Henry berkata, lebih penting lagi ialah usaha mewujudkan koridor hidupan liar bagi memudahkan pergerakan gajah.

Beliau berkata, sebelum ini, ada syarikat mengalami kerugian besar setiap tahun akibat konflik dengan gajah.

“Kini, selepas mengambil langkah meletakkan kolar satelit serta pagar, konflik manusia-gajah berkurangan, Malah, kerugian yang terpaksa ditanggung oleh syarikat berkenaan akibat masalah itu juga berkurangan,” katanya.

Berita Harian X