Selasa, 12 November 2019 | 5:48pm
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. NSTP/Eizairi Shamsudin
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. NSTP/Eizairi Shamsudin

Sarawak tambah perkhidmatan bas elektrik

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan empat lagi unit bas elektrik (e-bas) untuk tahun depan, sekali gus memacu perkhidmatan pengangkutan awam, terutama di bandar raya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ia akan menghubungkan perjalanan dari bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama hingga ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh dengan membabitkan 54 perhentian.

“Ia menawarkan kemudahan kepada pengunjung dan menghubungkan mereka dengan pelbagai tempat tarikan seperti Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, hotel, pusat perubatan swasta, institusi pendidikan, pusat beli-belah serta terminal bas Central Express Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada Persidangan DUN Sarawak, semalam.

Perkhidmatan e-bas Sarawak yang pertama memulakan operasi percubaan pada 1 Mac lalu, sebagai pengangkutan alternatif bagi memudahkan pelawat dan masyarakat tempatan.

Laluan bas pertama itu meliputi 26 perhentian antara Kompleks Mahkamah lama dengan Icom Square.

Berita Harian X