Isnin, 11 November 2019 | 4:13pm
SHAFIE ketika menerima kunjungan hormat Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin. - foto BERNAMA
SHAFIE ketika menerima kunjungan hormat Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin. - foto BERNAMA

UMS komited bantu pulihara hidupan liar

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk membantu usaha memelihara hidupan liar termasuk dalam program pembiakan badak sumbu Sumatera bagi memastikan spesies mamalia berkenaan tidak pupus di negeri ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata kajian berterusan mengenai usaha melindungi dan memelihara hidupan liar turut dilaksanakan oleh universiti itu bagi memastikan spesies haiwan terancam dapat diselamatkan.

“Kita sentiasa menjalankan kajian. Malah, badak sumbu Sumatera yang sudah tinggal seekor (badak betina), kita cuba membiakkannya (menerusi kaedah in-vitro) baru-baru ini tetapi gagal.

“Namun, kita akan berusaha lagi dengan mendapatkan sperma daripada badak jantan lain untuk proses persenyawaan bagi menambahkan lagi spesies badak di Sabah.

“Kita juga menjalankan program pemeliharaan lain khususnya perhutanan untuk memastikan kawasan kita terjaga dan dipelihara dengan baik,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Kunjungan hormat itu berkaitan Majlis Konvokesyen UMS Ke-21 dan Sambutan 25 Tahun UMS yang akan diadakan pada 23 hingga 25 November ini.

UMS sebelum ini terbabit menyediakan kemudahan untuk proses in-vitro atau IVF bagi mensenyawakan telur badak sumbu betina terakhir negara yang dikenali sebagai Iman.

Proses itu dijalankan di Pusat Inovasi Pembiakan Hidupan Liar dan Ternakan, Fakulti Pertanian Lestari, UMS di Sandakan pada 30 September lalu dengan menggunakan sperma badak jantan dikenali sebagai Tam yang diambil dan disimpan sebelum badak itu mati pada Mei lalu.

Mengenai Majlis Konvokesyen UMS, Dr Taufiq memaklumkan seramai 4,157 graduan akan menerima ijazah pada majlis itu yang diadakan di Dewan Canselor UMS.

Daripada jumlah itu, seramai 2,577 atau 62 peratus adalah graduan berasal dari Sabah, 123 graduan antarabangsa dari 16 negara, manakala selebihnya adalah dari negeri lain.

“Bilangan pelajar antarabangsa yang bergraduan di UMS semakin bertambah dan tahun ini saja lebih 1,000 orang pelajar graduan baharu memasuki UMS,” katanya.

Berita Harian X