Sabtu, 9 November 2019 | 12:46pm
Zulkifli Zakaria menunjukkan pokok strawberi yang ditanam di halaman rumahnya di Kampung Paya Kelubi. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Zulkifli Zakaria menunjukkan pokok strawberi yang ditanam di halaman rumahnya di Kampung Paya Kelubi. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Jual pokok strawberi tingkat pendapatan

PENDANG: Seorang penjual daging kini gigih mengusahakan tanaman pokok strawberi sebagai satu cabang pertanian bagi meningkatkan sumber pendapatan.

Zulkifli Zakaria, 54, berkata percubaan menanam empat pokok strawberi tahun lalu kini membuahkan hasil dan sebanyak 600 pokok berjaya dibiakkan di kawasan kediamannya di Kampung Paya Kelubi, di sini.

Katanya, percubaan menanam pokok strawberi bukan mudah, malah dia pernah beberapa kali gagal sebelum menemui kandungan tanah dan galian yang sesuai.

“Kandungan asid dan galian tanah sangat penting untuk memastikan pokok strawberi subur dan menghasilkan buah.

“Setakat ini, terdapat tiga jenis strawberi iaitu Shogun, Camarosa dan Rainbow Treasure ditanam dalam pasu di halaman rumah saya.

“Tetapi yang paling banyak adalah Shogun, iaitu baka dari Jepun yang tahan panas dan sesuai ditanam di kawasan tanah rendah,” katanya ketika ditemui di sini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia turut mengikuti beberapa kursus pertanian bagi meningkatkan ilmu berkaitan kerja penanaman.

Katanya, teknik sulur anak digunakan bagi membiakkan pokok strawberi, malah penjagaannya tidak terlalu rumit, cukup sekadar memastikan kelembapan tanah mencukupi.

“Kebiasaannya, pokok ini disiram sehari sekali dan disembur baja cecair sekali setiap minggu menggunakan baja yang dihasilkan sendiri.

“Jangka hayat tanaman ini mampu bertahan sehingga tiga tahun dan mengambil masa antara 50 hingga 70 hari untuk berbuah.

“Tumpuan utama difokuskan terhadap pokok kerana ia dijual untuk meningkatkan pendapatan manakala buahnya akan dimakan ahli keluarga dan kenalan,” katanya yang menjual pokok berkenaan pada harga RM15 hingga RM30 sepokok mengikut saiz.

Zulkifli berkata, ilmu pertanian yang dimiliki khususnya dalam tanaman strawberi itu tidak akan disia-siakan.

“Saya gemar berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat, barulah ilmu ini dapat berkembang,” katanya yang sering dijemput mengadakan kursus tanaman di sekitar daerah ini.

Berita Harian X