Khamis, 7 November 2019 | 1:59pm
EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian. NSTP/Faiz Anuar.
EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian. NSTP/Faiz Anuar.

7 empangan, 413 sungai di Selangor diwartakan

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu sebanyak tujuh empangan dan 413 sungai di negeri ini diwartakan mengikut Seksyen 48, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian, berkata pewartaan itu adalah untuk melindungi kuantiti, kualiti dan persekitaran sungai serta rizab sungai.

“Selain itu, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai amaran awal sekiranya berlaku sebarang pencemaran.

“Kerajaan negeri melalui LUAS turut menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-Sungai Selangor bagi menggalakkan pembabitan agensi, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung langkah diambil kerajaan negeri untuk mengelakkan pencemaran sungai berulang pada masa hadapan.

Loy Sian berkata, penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan juga sentiasa dilaksanakan membabitkan siasatan, notis serta pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Kerajaan negeri juga sudah menghantar surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sektiar dan Perubahan Iklim pada 1 Oktober lalu, mencadangkan penambahbaikan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Berita Harian X