Isnin, 4 November 2019 | 12:46pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu (tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis Penutupan dan Acara Penyampaian Hadiah Larian Kubah Nature Challenge di Taman Negara Kubah, Lundu, semalam. - Foto Norsyazwani Nasri
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu (tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis Penutupan dan Acara Penyampaian Hadiah Larian Kubah Nature Challenge di Taman Negara Kubah, Lundu, semalam. - Foto Norsyazwani Nasri

Jambatan Rambungan bakal rancakkan pembangunan Tanjong Datu

bhnews.bh.com.my

LUNDU: Pembinaan Jambatan Rambungan, di sini yang dijadualkan bermula tahun depan diyakini mampu merancakkan pembangunan dan sosio-ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, termasuk potensi sektor pelancongannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, berkata kawasan itu memiliki khazanah alam semulajadi yang belum dieksploitasikan sepenuhnya, dengan kelebihan itu boleh dimanfaatkan bagi menarik kunjungan pelancong.

“Di Lundu dan Sematan, kita memiliki lima Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPPs) iaitu Taman Negara Gading, Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Talang Satang, Santuari Hidupan Liar Samunsan dan Pusat Hidupan Liar Matang dalam Taman Negara Kubah.

“Ia berperanan menyumbang kepada perkembangan eko-pelancongan di Sarawak. Kita menjangka lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara datang untuk melihat sendiri keindahan Telok Melano dan mercu tanda `Kilometer O’ Projek Lebuh raya Pan Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan dan Acara Penyampaian Hadiah Larian Kubah Nature Challenge di Taman Negara Kubah, di sini semalam.

Jamilah ketika mengulas lanjut, berkata pembinaan jambatan baharu itu juga akan menggunakan reka bentuk yang menarik.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dijangka menyempurnakan majlis pecah tanah projek ini pada 24 November.

“Ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat dan pengunjung dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Tanjong Datu,” katanya.

Berita Harian X