Jumaat, 1 November 2019 | 4:03pm

ADUN Gadek direhatkan daripada hadir Persidangan DUN Melaka Ke-14

Ayer Keroh: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, direhatkan daripada menghadiri Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14, 18 November ini.

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Adly Zahari, berikutan dia (Saminathan) kini berdepan tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Adly menegaskan, keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri berdasarkan faktor dan perlembagaan negeri dengan berpegang kepada konsep peraturan undang-undang di mana seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Beliau juga memutuskan Saminathan kekal sebagai ADUN dan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri serta membenarkan wakil rakyat terbabit memohon cuti bagi persidangan enam hari itu.

“Mengikut perlembagaan negeri, memang dia (Saminathan) boleh memohon untuk bercuti daripada sidang DUN. Selagi tidak bersabit kesalahan, dia akan kekal (ADUN dan EXCO).

“Wujud kekangan untuk hadir ke sidang DUN kerana dia masih ditahan. Jadi, kita tidak boleh bertindak tanpa keputusan mahkamah (kedudukan EXCO). Itu keputusan (setakat ini) yang saya buat berdasarkan faktor dan undang-undang kerajaan negeri.

“Yang Berhormat Sami (Saminathan) akan memohon bercuti daripada sidang DUN,” katanya kepada BH, pada program Hari Bertemu Rakyat, di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Pada program berkenaan, Adly yang juga ADUN Bukit Katil, menerima lebih 30 aduan membabitkan isu warga asing, prosedur baharu premis cuci kenderaan dan pengambilalihan tanah tapak rumah ibadat.

Pelbagai pihak sebelum ini mendesak kerajaan negeri menggugurkan jawatan EXCO disandang Saminathan yang juga ADUN DAP, susulan penahanannya berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) selain turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan berkaitan LTTE Oktober lalu.

Difahamkan, pembangkang akan membawa usul supaya Saminathan dipecat sebagai EXCO pada sidang DUN berkenaan nanti.

Terdahulu, DAP Melaka menyerahkan kepada Adly untuk menentukan kedudukan Saminathan selepas didakwa di mahkamah kerana memberikan sokongan kepada kumpulan LTTE.

KETUA Menteri, Adly Zahari (kanan) pada sidang media di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Menteri, Adly Zahari (kanan) pada sidang media di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
Berita Harian X