Ahad, 27 Oktober 2019 | 11:57pm
Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Kampung Permatang Rawa, Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Kampung Permatang Rawa, Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Lebih 60 kawasan, jalan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

BUKIT MERTAJAM: Hujan lebat beserta angin kencing yang melanda negeri ini petang tadi menyebabkan berlaku banjir kilat dan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan.

Hujan lebat yang bermula jam 4 petang itu turut menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan selepas ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata hujan lebat dengan bacaan sehingga 90 milimeter (mm) dalam tempoh sejam menyebabkan kawasan rendah dilanda banjir kilat.

Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan sistem perparitan yang tidak dapat menampung aliran air, terutama di kawasan rendah.

“Sekurang-kurangnya 52 kawasan dan jalan raya di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara mengalami banjir kilat. Antaranya Juru, Mak Mandin, Tanah Liat, Padang Lalang dan Lebuhraya Utara Selatan dari Sungai Dua hingga Permatang Pauh.

“Kawasan mengalami banjir kilat itu dinaiki air antara 0.1 m hingga 0.5 meter, manakala tiga jalan iaitu Jalan Permatang Tinggi, Jalan Tok Kangar dan Jalan Hutan Petai ditutup kepada kenderaan ringan kerana ditenggelami banjir,” katanya di sini, malam ini.

Boon Poh berkata, sebuah rumah di Kampung Permatang Sintok, Penaga, turut rosak selepas sebahagian bumbung kediaman itu diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira-kira pukul 4.30 petang.

Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Keadaan banjir berikutan hujan lebat petang tadi di Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Katanya, bahagian dapur rumah turut dibasahi air hujan selepas bumbung diterbangkan ribut dan penghuninya kini terpaksa menumpang di rumah saudara mereka kerana rumah berkenaan tidak selamat untuk diduduki.

Sementara itu, katanya, lebih 10 kawasan di daerah Timur Laut turut mengalami banjir kilat, termasuk Jalan P. Ramlee, Jalan Van Pragh, Jalan Terengganu, Lorong Hijau dan Kampung Dodol.

“Semua agensi seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam Dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa dalam keadaan bersiap sedia termasuk jika perlu akan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Timur Laut,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 8.30 malam tadi, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di tiga PPS di kawasan Bukit Mertajam kekal 94 orang.

Menurutnya, 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun, manakala di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat(PPR) Tok Suboh seramai 22 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di situ.

“Sebuah lagi PPS iaitu Tadika Kemas Kampung Manggis pula, masih menempatkan 26 orang daripada tujuh keluarga. Beberapa kawasan di Bukit Mertajam masih hujan malam ini, namun tidak selebat petang tadi dan kami akan terus memantau dari semasa ke semasa.

“Semua jabatan dan agensi berkaitan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana jam 12 tengah malam ini, air laut pasang besar dan jika hujan lebat dijangka berlaku yang berkemungkinan menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X