KUALA LUMPUR: Program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini dilihat kurang berkesan kerana kemiskinan masih membelenggu penduduk luar bandar khususnya kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort) berkata, isu berkenaan sepatutnya diselesaikan segera menerusi mekanisme baharu dan tidak terus berbangkit untuk tempoh 10 tahun lagi.
Beliau berkata, walaupun keistimewaan Melayu dan Bumiputera diberi jaminan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kaum Bumiputera masih ramai dibelenggu kemiskinan walaupun pelbagai dasar dan program dilaksanakan untuk mengatasinya.
Sehubungan itu katanya, kemiskinan seharusnya dibasmi secara bersungguh-sungguh menerusi pendekatan dan program baharu kerana dasar sebelum ini dilihat kurang berkesan sehingga kemiskinan kekal sebagai isu yang terus dibangkitkan di negara ini.
“Kerajaan perlu memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang baru dilancarkan mencapai matlamat, selain peningkatan peruntukan di luar bandar perlu memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan secara menyeluruh bukan saja prasarana seperti jalan, air dan elektrik tetapi mencakupi peningkatan ekonomi.
“Kita mahu satu dasar baharu dilaksanakan bagi memastikan golongan miskin mampu berdikari, tidak lagi terus miskin dan bergantung kepada bantuan kerajaan,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat , hari ini.
Azizah berkata, kerajaan perlu memastikan 10 tahun lagi rakyat miskin tidak terus ketinggalan sehingga mewujudkan jurang besar antara wilayah di negara ini.
“Jangan sampai 10 tahun lagi kita masih lagi berbicara mengenai luar bandar masih miskin dan ketinggalan. Pihak kerajaan perlu lihat semula dasar dan program yang dilaksanakan adakah mampu mengubah ekonomi rakyat atau sebaliknya.
“Adakah nanti masih tinggal di rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sebagainya yang mewujudkan stigma Bumiputera Sabah dan Sarawak tergolong miskin tegar,” katanya.
Katanya, peruntukan sebanyak RM10.9 bilion bagi pembangunan luar bandar dalam Belanjawan 2020 sangat dialu-alukan dan ia boleh merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar jika dilaksanakan secara bijak dan jika jumlahnya kurang perlu ditambah.
Katanya, peruntukan RM783 juta untuk baik pulih sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2020 juga perlu disegerakan kerana ia keperluan mendesak di dua negeri terbabit.
“Saya juga berharap kontraktor wanita di negara ini tidak diabaikan dalam melaksanakan projek kerajaan menerusi Belanjawan 2020.
“Pada masa sama, saya berharap Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM2020) memfokuskan kepada pelancongan luar bandar bukan hanya bandar, misalnya di Beaufort banyak kawasan menakjubkan yang boleh dikunjungi pelancong,” katanya.