Ahad, 20 Oktober 2019 | 5:04pm
Sebuah rumah yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu Sarawak Energy Berhad (SEB) di Tabuan Laru, di sini minggu lalu. - Ihsan pembaca
Sebuah rumah yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu Sarawak Energy Berhad (SEB) di Tabuan Laru, di sini minggu lalu. - Ihsan pembaca

Rumah curi eletrik kena serbu

KUCHING: Sebuah rumah yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu Sarawak Energy Berhad (SEB) di Tabuan Laru, di sini minggu lalu.

Jurucakap SEB berkata, operasi itu yang dijalankan pasukan utilitinya, selain dibantu SESCO Berhad (SESCO) bersama pihak berkuasa, bertindak atas aduan awam.

“Hasil pemeriksaan di unit kediaman itu mendapati meter elektriknya sudah diusik sehingga menyebabkan ia gagal merekodkan bacaan dengan sempurna.

“Siasatan lanjut turut mendapati bil elektrik rumah itu menunjukkan penggunaan yang sangat rendah dengan jumlah kira-kira RM20 sebulan walaupun penggunaan elektrik sangat tinggi seperti penghawa dingin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, siasatan turut mendapati rumah terbabit disewa dan meter elektrik berkenaan sudah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Laporan polis sudah dibuat dan penyewa serta pemilik rumah akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti Sarawak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik,” katanya.

Katanya, SEB akan terus bekerjasama rapat dengan EIU dan polis dalam mengekang kegiatan haram ini yang membawa hukuman denda RM100,000 dan atau lima tahun penjara, jika disabit kesalahan.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat kecurian elektrik melalui hotline Sarawak Energy Berhad di talian 082-443535 dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Berita Harian X