Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:47pm
Beberapa ekor anjing liar berkeliaran di belakang Pondok Polis di Taman Sri Lambak, Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim
Beberapa ekor anjing liar berkeliaran di belakang Pondok Polis di Taman Sri Lambak, Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim

Anjing liar meresahkan penduduk taman

KLUANG: Penduduk di Taman Sri Lambak dekat sini menyatakan rasa resah berikutan kemunculan lebih 10 ekor anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan perumahan mereka.

Keresahan itu berpunca berikutan beberapa kejadian penduduk dikejar oleh binatang itu ketika melalui tempat mereka berkumpul, walaupun belum ada kes digigit anjing dilaporkan di taman berkenaan setakat ini.

Penduduk, Shaari Hamid, 55, berkata penghuni taman itu turut bimbang dengan ancaman penyakit anjing gila (Rabies) walaupun setakat ini belum ada lagi kes seumpamanya dilaporkan di situ.

Katanya, penduduk merasa khuatir kerana penyakit berkenaan boleh membawa kematian dan mahu pihak berkuasa tempatan membanteras kehadiran anjing yang semakin bertambah jumlahnya sejak akhir-akhir ini, sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

“Ada beberapa kejadian penduduk dikejar anjing di taman ini dan ia amat membimbangkan sekiranya berlaku kepada kanak-kanak sekolah kerana ramai antara mereka hanya berjalan kaki ketika pulang dari sekolah.

“Justeru, kami amat berharap pihak berkuasa tempatan melakukan tindakan susulan sama ada menangkap ataupun membasmi kewujudan anjing liar ini, sekali gus menghilangkan keresahan penduduk di taman ini,” katanya.

Menurutnya, penduduk tidak mahu apabila berlaku kejadian tidak diingini, baru pihak berkuasa mengambil tindakan sedangkan mungkin sudah terlambat.

“Kebiasaannya, kumpulan anjing ini berada di kawasan lapang dan tumpuan awam, keadaan ini amat membimbangkan penduduk sekiranya anjing berkenaan bertindak ganas secara tiba-tiba.

“Pada waktu malam, kebanyakan anjing ini akan menjadikan bangunan RELA di belakang Pondok Polis di Taman Sri Lambak sebagai tempat tidur,” katanya.

Berita Harian X