Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:29am
ANGGOTA Agensi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan (APMM) menahan sebuah bot penumpang yang beroperasi tanpa lesen pada kedudukan 2.9 Batu Nautika Barat Daya dari Pantai Kundur, Tanjung Kling pada jam lebih kurang 10 malam di atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 ketika melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Negeri Melaka. NSTP/Ihsan APMM

APMM tahan bot penumpang tanpa lesen

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Melaka & Negeri Sembilan menahan sebuah bot penumpang tanpa lesen di Pantai Kundur, Tanjung Kling di sini, malam tadi.

Pemangku Pengarahnya, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, bot penumpang OASIS 4 itu ditahan jam 10 malam pada kedudukan 2.9 batu nautika barat daya ketika melakukan rondaan rutin di sekitar perairan negeri ini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati dua kru bot warga tempatan berusia 50 dan 38 tahun gagal mempamerkan lesen bot penumpang jenis gentian kaca itu.

“Bagaimanapun, ketika ditahan bot yang dianggarkan boleh memuatkan 12 penumpang itu tidak membawa penumpang. Kedua-duanya akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sepanjang tahun ini APMM Melaka & Negeri Sembilan membuat 13 tangkapan di atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Azman menasihati pengusaha bot penumpang supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika membawa pelancong atau pekerja kapal dagang bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

“Pihak kami sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Berita Harian X