Isnin, 7 Oktober 2019 | 8:47pm
Mohd Hazrul (dua dari kanan) menerangkan cara penggunaan Simulator Racing kepada pelajar di ruang e-sports pada Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT) di Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori
Mohd Hazrul (dua dari kanan) menerangkan cara penggunaan Simulator Racing kepada pelajar di ruang e-sports pada Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT) di Terengganu Digital Hub. - NSTP/Ghazali Kori

e-sport tarik minat golongan muda

KUALA TERENGGANU: Karnival Inovasi ICT (KIICT) Terengganu 2019 menjadi platform terbaik untuk Persatuan e-sport Malaysia Terengganu memberi pendedahan dan mencungkil bakat lebih ramai pelapis dalam acara yang kian popular di negara ini.

Naib Presidennya, Mohd Hazrul Mat Tajuddin, 36, berkata usaha persatuan membawakan pengalaman studio Virtual Reality (VR) dan e-sport memberi keterujaan kepada golongan muda terutama pelajar untuk mendalami bidang itu.

Beliau berkata, pendedahan mengenai e-sukan perlu kerana ramai terutama ibu bapa yang beranggapan sukan itu tidak mendatangkan faedah, sedangkan hakikatnya ia boleh dijadikan kerjaya yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Alhamdulillah, penyertaan kita pada KIICT ini satu langkah tepat kerana banyak maklum balas diterima daripada golongan muda khususnya yang berminat dalam aktiviti e-sport.

“Kita berjaya buktikan bahawa sukan ini bukan sekadar permainan semata-mata, tetapi boleh dijadikan sebagai satu kerjaya dan Terengganu sendiri sudah melahirkan ramai atlet e-sport bertaraf dunia.

“Kita ada beberapa pemain yang memenangi pertandingan e-sport di peringkat antarabangsa antaranya juara dalam pertandingan ‘call of duty’. Sudah semakin ramai belia menjadikan e-sport bukan sekadar hobi, tetapi juga karier buat mereka,” katanya.

Beliau menambah, tiga atlet Terengganu juga dipilih mewakili Malaysia dalam e-sport pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, Disember depan.

“Perkembangan e-sport di Terengganu sangat menggalakkan sejak mula bertapak pada 2015, sebelum ia semakin berkembang dan rancak bermula 2018.

“Terengganu antara yang paling aktif dalam e-sport selepas Selangor dan Kuala Lumpur dan ini pencapaian yang sangat membanggakan.

“Kita harap KIICT membuka mata dan minda belia untuk menjadikan e-sport satu kerjaya, selain hobi untuk mengisi masa lapang. Kita berterima kasih dengan penganjuran KIICT kerana ia platform terbaik untuk kami menyebarluaskan kelebihan e-sport,” katanya.

Berita Harian X