Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:00pm
ORANG awam mendakwa ternampak kelibat buaya dipercayai tersesat di Waterfront Port Dickson pada malam Sabtu lalu. NSTP/Ihsan Pembaca
ORANG awam mendakwa ternampak kelibat buaya dipercayai tersesat di Waterfront Port Dickson pada malam Sabtu lalu. NSTP/Ihsan Pembaca

'Jangan panik dengan klip video buaya di PD'

PORT DICKSON: Orang ramai dinasihati tidak panik dengan dakwaan kelibat buaya dilihat sekitar pantai berhampiran PD Waterfront di sini, baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa, berkata pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjalankan pemantauan dan siasatan di kawasan itu. sejak tiga hari lalu.

Setakat ini, katanya, tiada buaya ditemui di kawasan itu dan pihaknya tidak dapat memastikan sama ada klip video yang tersebar itu adalah buaya atau sebaliknya kerana kabur, selain diambil dari jarak jauh.

ORANG awam yang beriadah dikejutkan ternampak kelibat buaya tersesat di Waterfront Port Dickson pada malam Sabtu lalu. NSTP/Ihsan Pembaca
ORANG awam yang beriadah dikejutkan ternampak kelibat buaya tersesat di Waterfront Port Dickson pada malam Sabtu lalu. NSTP/Ihsan Pembaca

“Ia mungkin kayu terapung atau biawak bersaiz kecil.

“Kemungkinan juga anak buaya sesat namun lazimnya ia akan kembali ke habitat asal di sungai berhampiran seperti Sungai Lukut atau Sungai Sepang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, PERHILITAN sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan selamat.

Katanya, orang ramai perlu berwaspada dan memberi maklumat kepada PERHILITAN atau terus menghubungi MPPD jika ternampak kemunculan buaya di mana-mana lokasi di pantai Port Dickson.

Beliau berkata, aduan boleh dibuat di Sistem Pengaduan Awam (SISPAA) di laman web MPPD atau menghubungi talian bebas tol 24 jam PERHILITAN di 1800885151.

Berita Harian X