Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:57pm
AMIRUDIN (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan Dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto BERNAMA
AMIRUDIN (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan Dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto BERNAMA

Selangor sedang bangunkan program pantau sungai utama

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang membangunkan satu program untuk memantau sungai utama yang mempunyai kapasiti atau peluang pencemaran yang besar di negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata program yang dibangunkan bersama Smart Selangor itu bakal memastikan pencemaran sungai yang turut menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA), dapat dihalang.

"Pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih pada sabtu lalu sudah ditangani dan saya rasa kita perlu mengambil langkah pencegahan serta pemantauan untuk memastikan ia tidak berlaku lagi.

"Justeru, kita kini sedang bina satu program dengan Smart Selangor untuk memantau sungai utama yang mempunyai kapasiti atau peluang pencemaran yang besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini, hari ini.

Beliau berkata, sukar untuk menangkap pelaku yang membuang sisa tercemar ke dalam sungai dan pemantauan dilakukan apabila berlaku pencemaran.

Katanya, seperti kes pencemaran di Sungai Semenyih, sisa tercemar itu dikesan datang dari satu kemudahan milik Indah Water Konsortium (IWK) malah sehari sebelum kejadian, sebuah lori ditahan kerana membuang sisa kumbahan di sungai berdekatan.

"Kita sukar mengawal serta menangkap pelaku kerana banyak kilang dan kedai di kawasan berkenaan," katanya.

Sabtu lalu, BH Online melaporkan, kira-kira 372,031 pemegang akaun di 204 kawasan di Selangor terjejas bekalan air apabila operasi LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan susulan pencemaran bau dikesan di sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pencemaran berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di empat daerah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan berkata, pencemaran bau dengan bacaan lima ton itu adalah kejadian kali keempat pada tahun ini yang menyebabkan loji utama terpaksa dihentikan daripada beroperasi.

Akibat daripada penutupan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku membabitkan kawasan luas.

Berita Harian X