Isnin, 30 September 2019 | 10:49am
JURUTEKNIK Air Selangor, Muhammad Tarmizi Abdullah membuat ujian susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, Bukit Mahkota, Bangi. - Foto Azhar Ramli
JURUTEKNIK Air Selangor, Muhammad Tarmizi Abdullah membuat ujian susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, Bukit Mahkota, Bangi. - Foto Azhar Ramli

Bekalan air di Hulu Langat pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bekalan air di Hulu Langat pulih sepenuhnya, dengan pemulihan bekalan air bagi 114,018 akaun terjejas mencapai 100 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang bagaimanapun masih dalam proses pemulihan.

“Status pemulihan bagi 132,953 akaun terjejas di Petaling mencapai 99 peratus, manakala bagi 49,180 akaun di Kuala Langat dan 75,880 akaun di Sepang pula masing-masing mencecah 98 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

“Segala usaha diambil bagi memulihkan bekalan air kepada pelanggan yang terjejas mengikut sasaran.

“Bantuan lori tangki air masih digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan terus beroperasi 24 jam hingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ABDUL Raof Ahmad. - Foto Luqman Hakim Zubir
ABDUL Raof Ahmad. - Foto Luqman Hakim Zubir

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan berlaku pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Henti tugas disebabkan pencemaran itu menyebabkan 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Orang ramai boleh merujuk aplikasi Air Selangor menerusi telefon pintar masing-masing atau laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat dan status terkini bekalan air.

Air Selangor juga boleh dihubungi di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 / 019-2800919.

Berita Harian X